DUNIA

Angka kematian tanah runtuh di Bandung Barat meningkat kepada 53 orang

Bernama 28/01/2026 | 14:04 MYT
Tanah runtuh yang dicetuskan oleh hujan amat lebat itu melanda Kampung Pasir Langu kira-kira 2.30 pagi Sabtu lepas. - AP
JAKARTA: Sebanyak 53 mayat ditemui setakat ini dalam kejadian tanah runtuh di Bandung Barat, Jawa Barat ketika operasi mencari dan menyelamat (SAR) memasuki hari kelima pada Rabu.

Ketua Agensi Pengurusan Bencana Nasional (BNPB) Suharyanto berkata daripada jumlah itu, 35 mangsa dikenal pasti oleh pasukan Pengenalpastian Mangsa Bencana (DVI).

"Semua waris kepada mangsa yang dikenal pasti menerima pampasan daripada Kementerian Hal Ehwal Sosial," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Tanah runtuh yang dicetuskan oleh hujan amat lebat itu melanda Kampung Pasir Langu kira-kira 2.30 pagi Sabtu lepas, sekali gus menimbus beberapa kawasan kediaman.

Suharyanto berkata tempoh tindak balas kecemasan disasar untuk diselesaikan dalam tempoh dua minggu akan datang dan tidak akan dilanjutkan.

Sementara itu, beliau berkata BNPB bersama kerajaan tempatan merekodkan terdapat 48 rumah yang rosak teruk atau musnah akibat kejadian tanah runtuh itu.

"Agensi Geologi juga sedang mengumpul data bagi menentukan sama ada selain 48 rumah itu, terdapat kediaman lain yang perlu dipindahkan," katanya sambil berkata agensi berkenaan turut meminta kerajaan tempatan mencari lokasi sesuai bagi tujuan penempatan semula penduduk terjejas.

Beliau berkata BNPB juga akan menyalurkan bantuan dana perumahan sementara kepada keluarga yang terjejas secara langsung dan kini menumpang di rumah saudara-mara dan akan diagihkan dari Januari hingga Mac.

"Jika mereka terjejas secara langsung dan perlu tinggal di rumah saudara-mara, itu tidak menjadi masalah. Hak mereka tetap akan dipenuhi. Jika rumah mereka rosak, hilang atau musnah teruk, mereka akan menerima bantuan dana perumahan sementara," katanya.

--BERNAMA


#tanah runtuh #bencana alam #Bandung Barat #angka korban #misi SAR #BNPB