Angka kematian terus meningkat dalam protes Peru Selatan

Faida Rahim
Januari 10, 2023 04:00 MYT
Presiden Castillo sedang menjalani tahanan praperbicaraan selama 18 bulan atas tuduhan memberontak namun tuduhan dinafikannya. - Foto REUTERS/Hugo Courotto
LIMA: Sekurang-kurangnya 12 orang dilaporkan maut berikutan rusuhan di Juliaca, Peru Selatan, semalam.
Memetik France 24, laporan dikeluarkan pihak Kementerian Kesihatan Peru selepas protes bersambung semula yang menuntut pilihan raya awal serta pembebasan bekas Presiden Pedro Castillo.
Angka mangsa yang maut akibat rusuhan antikerajaan dengan pasukan keselamatan meningkat kepada 34 sejak protes bermula pada awal Disember lalu.
Castillo sedang menjalani tahanan praperbicaraan selama 18 bulan atas tuduhan memberontak namun tuduhan dinafikannya.
Tambah kementerian itu dalam satu kenyataan di Facebook, sekurang-kurangnya 38 orang teredera dan dirawat di sebuah hospital di Juliaca.
Dalam pada itu, seorang saksi Reuters berjaya merakam suasana tembakan dan asap di jalanan ketika penunjuk perasaan berlindung di sebalik plat besi besar dan papan tanda jalan serta membaling batu ke arah polis menggunakan tembakan anduh yang telah diubahsuai.
Sementara itu, rakaman lain menunjukkan orang ramai memberikan bantuan pernafasan kepada seorang lelaki yang terbaring memakain baju sejuk dengan berlumuran darah termasuk orang yang mengalami kecederaan parah di ruang menunggu hospital yang sesak.
“Kami meminta pihak berkuasa undang-undang membuat penggunaan kekerasan yang sah dan berkadar. Kami juga menggesa pejabat pendakwa negeri menjalankan siasatan segera bagi menjelaskan fakta,” tulis Pejabat Ombudsman di Twitter.
Difahamkan, selain daripada pilihan raya awal dan pembebasan Castillo, penunjuk perasaan menggesa Presiden baharu Dina Boluarte meletak jawatan, penutupan Kongres dan perubahan kepada perlembagaan.
Bercakap pada mesyuarat "Perjanjian Nasional" dengan wakil dari wilayah negara dan pelbagai institusi politik, Boluarte menyeru rakyat untuk "bermuhasabah".
“Satu-satunya perkara yang berada di tangan saya ialah meneruskan pilihan raya, yang telah kami cadangkan.
“Apa yang anda minta adalah alasan untuk terus mencetuskan huru-hara di bandar,” katanya.
#Kementerian Kesihatan #Penunjuk perasaan #Peru Selatan #Presiden Pedro Castillo