Skip to main content

Dunia

Angka korban banjir di sempadan Nepal-China meningkat kepada 162

Rescuers use an earthmover to carry a victim of flash flooding to safety along the Trishuli River in Nepal's Nuwakot district, Wednesday, Aug. 26, 2026. (AP Photo/Niranjan Shrestha)
Kerajaan memindahkan penduduk yang terjejas dan menggerakkan tentera serta pengendali helikopter swasta untuk operasi mencari dan menyelamat. - Gambar/ AP
Advertisement

ISLAMABAD: Angka korban akibat banjir kilat yang melanda perkampungan dan laluan pendakian di kawasan sempadan Nepal-China meningkat kepada 162 orang, manakala ratusan lagi masih hilang, lapor media tempatan pada Khamis, menurut Anadolu Ajansi.

Operasi mencari dan menyelamat dengan bantuan helikopter serta dron masih diteruskan.

Kerajaan memindahkan penduduk yang terjejas dan menggerakkan tentera serta pengendali helikopter swasta untuk operasi mencari dan menyelamat.

Tentera Nepal dan pengendali helikopter swasta setakat ini memindahkan 114 orang ke tempat selamat.

Daerah Chitwan di wilayah Bagmati mencatat jumlah korban tertinggi dengan 64 kematian, diikuti daerah Dhading dengan 27 dan Nawalparasi Timur 22.

Pelancong yang masih hilang termasuk lebih 100 rakyat India, 54 rakyat Amerika Syarikat, 34 rakyat Australia dan 33 rakyat United Kingdom.

Polis Nepal pula berkata 28 pegawainya masih hilang.

Menurut laporan awal, banjir itu memusnahkan 19 jambatan dan sebahagian laluan lebuh raya utama sepanjang 40 kilometer, sekali gus memutuskan hubungan pengangkutan dan menyukarkan operasi menyelamat.

Menteri Luar Nepal Shisir Khanal berkata banjir itu menyebabkan “kerosakan teruk” di beberapa daerah, sambil mengingatkan bahawa setakat ini hanya maklumat awal diperoleh.

Beliau menggesa tahap kesiapsiagaan dipertingkatkan di sepanjang tebing Sungai Bhotekoshi dan Trishuli di daerah Nuwakot, Dhading, Gorkha dan Chitwan berikutan tahap risiko kekal tinggi.

Kerajaan mengisytiharkan Rasuwa, Nuwakot dan Dhading sebagai “kawasan krisis bencana” selama tiga bulan.

Pihak Berkuasa Pengurangan Risiko dan Pengurusan Bencana Kebangsaan meminta pengendali helikopter serta dron menyelaras operasi mencari dan menyelamat dengan pentadbiran daerah, agensi keselamatan dan kerajaan tempatan.

Penduduk yang terkandas turut dinasihatkan menyalakan api dan menghasilkan asap bagi memberi isyarat mengenai lokasi mereka.

India, China dan Bank Dunia segera menyelaras bantuan kewangan untuk menyokong operasi menyelamat, bantuan kecemasan serta pembinaan semula kawasan terjejas banjir di Nepal, menurut Kementerian Kewangan negara itu.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 

Must Watch Video

Advertisement