[TERKINI] Skandal 1MDB: Bradley Hope Dedah Jho Low Hidup Mewah di Shanghai – Dapatkan Perincian Di Sini
DUNIA

Angka korban banjir di tengah Nigeria meningkat kepada 151 orang

Bernama 31/05/2025 | 15:42 MYT
Jumlah korban akibat banjir besar selepas hujan lebat di negeri Niger, tengah Nigeria, meningkat kepada sekurang-kurangnya 151 orang, menurut pihak berkuasa tempatan pada Sabtu. - Foto AP
ABUJA: Jumlah korban akibat banjir besar selepas hujan lebat di negeri Niger, tengah Nigeria, meningkat kepada sekurang-kurangnya 151 orang, menurut pihak berkuasa tempatan pada Sabtu, lapor Xinhua.

Jurucakap Agensi Pengurusan Kecemasan Negeri Niger, Ibrahim Hussaini, memaklumkan kepada Xinhua melalui panggilan telefon bahawa lebih 50 mayat ditemukan pada Sabtu di kawasan Mokwa, lokasi bencana berlaku.

Hussaini berkata 11 orang yang cedera berjaya diselamatkan dan dihantar ke hospital berhampiran. "Setakat ini, seramai 318 orang terjejas dan sekurang-kurangnya 503 isi rumah turut terkesan," katanya.

Beliau berkata usaha mencari mangsa masih diteruskan dengan bantuan penyelam tempatan dan sukarelawan.

Hujan lebat lewat Rabu malam lepas menyebabkan kerosakan teruk di Mokwa, mengakibatkan banyak rumah kediaman ditenggelami air dan dihanyutkan, sebahagiannya dengan penghuni masih berada di dalam, menurut Hussaini pada Khamis.

Awal minggu ini, Agensi Meteorologi Nigeria mengeluarkan ramalan berhubung ribut petir dan hujan lebat di kawasan tengah negara termasuk negeri Niger. Hujan dijangka berterusan dalam tempoh 24 jam akan datang, dengan hujan setempat turut diramalkan di kawasan selatan.

Agensi Pengurusan Kecemasan Kebangsaan (NEMA) dalam kenyataan pada Selasa memaklumkan bahawa pihaknya telah memperhebat usaha untuk mengurangkan kesan banjir bermusim di seluruh negara.

Semasa kempen kesedaran kebangsaan mengenai kesiapsiagaan banjir, Ketua Pengarah NEMA, Zubaida Umar menggesa semua peringkat kerajaan supaya melabur dalam sistem saliran, empangan dan infrastruktur tahan banjir di kawasan berhampiran sungai.

-- BERNAMA


#korban banjir #Nigeria #banjir besar #Mokwa