Skip to main content

Dunia

Angka korban banjir kilat Nepal meningkat kepada 389, lebih 900 masih hilang

People walk past damage in the aftermath of flash floods in Devighat in the Nuwakot district in Nepal, Thursday, Aug. 27, 2026. (AP Photo/Niranjan Shrestha)
Penduduk berjalan di kawasan yang mengalami kerosakan akibat banjir kilat di Devighat, daerah Nuwakot, Nepal. - Foto AP
Advertisement

KATHMANDU: Jumlah korban akibat banjir kilat yang melanda Nepal terus meningkat kepada sekurang-kurangnya 389 orang, manakala lebih 900 lagi masih hilang ketika operasi mencari dan menyelamat giat dijalankan di kawasan terjejas di Nepal dan Tibet.

Pasukan penyelamat bertungkus-lumus mengesan mangsa yang terselamat selepas bencana yang berlaku pada Rabu itu memusnahkan kediaman, menenggelamkan jalan raya serta menghanyutkan jambatan di beberapa kawasan berhampiran sempadan Nepal-China.

Menurut pihak berkuasa Nepal, lebih 900 individu masih belum dapat dikesan susulan kejadian berkenaan, menjadikannya antara bencana banjir paling buruk yang pernah melanda negara itu dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.

Di wilayah Tibet pula, sekurang-kurangnya tiga kematian dilaporkan manakala lebih 558 orang masih hilang.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada angka korban dan kehilangan yang dilaporkan oleh kedua-dua pihak merujuk kepada individu yang sama di kawasan sempadan yang terjejas.

Usaha mencari mangsa berdepan pelbagai cabaran berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu, selain kerosakan teruk terhadap infrastruktur utama yang menyukarkan akses ke kawasan bencana.

Pihak berkuasa turut memberi amaran mengenai risiko berlakunya banjir baharu selepas sebuah tasik yang terbentuk akibat pengumpulan air dalam jumlah besar dikesan di kawasan sempadan China-Nepal.

Kenaikan paras air di tasik itu mencetuskan kebimbangan ia boleh melimpah atau pecah pada bila-bila masa, sekali gus menyebabkan gelombang banjir baharu yang berpotensi mengancam komuniti di hilir sungai.

Agensi pengurusan bencana kedua-dua negara kini memantau keadaan tersebut secara rapi dan sedang mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengurangkan risiko kepada penduduk setempat.

Sementara itu, ribuan penduduk yang terjejas telah dipindahkan ke pusat perlindungan sementara, manakala bantuan kecemasan termasuk makanan, air bersih dan bekalan perubatan terus disalurkan kepada mangsa.

Pihak berkuasa memberi amaran bahawa angka korban dan kehilangan dijangka terus meningkat apabila operasi pencarian diperluaskan ke kawasan yang sebelum ini terputus hubungan akibat banjir dan tanah runtuh.

 

 

Must Watch Video

Advertisement