DUNIA
Angka korban demam Lassa di Nigeria meningkat kepada 155

Menurut NCDC, terdapat sedikit penurunan dalam kes demam Lassa yang disahkan berbanding tempoh sama pada 2024, namun kadar kematian meningkat daripada 17.6 peratus tahun lepas.
ABUJA: Angka kematian akibat wabak demam Lassa di Nigeria meningkat kepada 155 orang, dengan sekurang-kurangnya tiga kematian direkodkan setakat bulan ini, menurut pihak berkuasa kesihatan awam negara itu, lapor Xinhua.
Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Nigeria (NCDC) dalam satu kenyataan pada Isnin berkata sebanyak 825 kes yang disahkan direkodkan sejak awal tahun ini, selain lebih 6,520 jangkitan yang disyaki.
Menurut NCDC, kadar kematian kes menurun sedikit kepada 18.6 peratus berbanding 18.7 peratus bulan lepas. Sekurang-kurangnya 21 daripada 36 negeri di Nigeria melaporkan kes, dengan Edo, Ondo dan Ebonyi di selatan serta Bauchi dan Taraba di utara dikenal pasti sebagai kawasan paling teruk terjejas.
Sebanyak 105 kawasan kerajaan tempatan daripada 774 di negara itu melaporkan jangkitan tahun ini.Agensi itu menyatakan terdapat sedikit penurunan dalam kes yang disahkan berbanding tempoh sama pada 2024, namun kadar kematian meningkat daripada 17.6 peratus tahun lepas. Ia menambah bahawa golongan berusia 21 hingga 30 tahun kekal paling terjejas, dengan nisbah lelaki kepada wanita 1:0.8.
NCDC pada masa sama telah mengaktifkan sistem pengurusan insiden pelbagai sektor bagi menyelaras respons di seluruh negara.
Demam Lassa berjangkit terutamanya melalui makanan atau barangan isi rumah yang tercemar dengan air kencing atau najis tikus. Penularan antara manusia boleh berlaku melalui sentuhan langsung dengan air liur, air kencing atau najis tikus yang dijangkiti.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami