Insiden Pelajar Perempuan Maut Ditikam di Sekolah - Ikuti info terkini di sini
DUNIA

Angka korban kebakaran gudang kimia, kilang pakaian di Bangladesh meningkat kepada 16 orang

Bernama 14/10/2025 | 21:40 MYT
Kepulan asap tebal kelihatan dari bangunan yang terjejas akibat kebakaran yang berlaku di sebuah kilang pakaian dan gudang bahan kimia di Dhaka, Bangladesh, 14 Okt 2025. REUTERS
DHAKA: Sekurang-kurangnya 16 orang terbunuh selepas kebakaran dahsyat memusnahkan sebuah kilang pakaian dan gudang bahan kimia di ibu negara Bangladesh, Dhaka, lapor Xinhua.

Laporan awal sebelum ini menyebut bahawa kebakaran itu telah meragut sembilan nyawa dan mencederakan beberapa yang lain dengan serius.

Menurut laporan media tempatan, kedua-dua bangunan tersebut terletak bersebelahan berhadapan dengan Universiti Perniagaan dan Teknologi Bangladesh.

"Sebanyak 12 mayat telah dibawa ke Hospital Kolej Perubatan Dhaka dan Institut Kebangsaan Pembedahan Melecur dan Pembedahan Plastik di Dhaka," kata Pegawai Bahagian Media Ibu Pejabat Perkhidmatan Bomba di Dhaka, Talha Bin Jashim, kepada Xinhua.

Sekurang-kurangnya 12 jentera bomba terlibat dalam operasi memadamkan kebakaran yang dilaporkan berlaku sekitar 11.40 pagi Selasa.

Menurut pegawai itu, kebakaran di kilang pakaian setinggi tujuh tingkat itu bermula di tingkat tiga dan sebahagian besarnya telah berjaya dipadamkan.

Bagaimanapun, beliau berkata, anggota bomba masih berusaha mengawal sepenuhnya kebakaran di gudang bahan kimia yang menyimpan bahan berbahaya termasuk serbuk peluntur, plastik dan hidrogen peroksida.

Seorang lagi pegawai bomba yang enggan dikenali memberi amaran bahawa angka korban mungkin terus meningkat.

Punca kebakaran masih belum dikenal pasti.

-- BERNAMA



#Bangladesh #kebakaran gudang kimia #kebakaran kilang pakaian #angka korban