SAN FRANCISCO: Angka korban akibat insiden letupan tangki bahan kimia di sebuah kilang kertas di Longview, negeri Washington, Amerika Syarikat (AS), meningkat kepada dua orang pada Rabu, manakala sembilan yang lain masih hilang dan dikhuatiri maut, menurut pegawai tempatan, lapor Xinhua.
Insiden itu melibatkan sebuah tangki yang mengandungi “white liquor”, iaitu larutan bahan kimia menghakis yang digunakan dalam pemprosesan pulpa dan kertas, dengan kapasiti kira-kira 900,000 gelen, kata pegawai.
Lembaga Siasatan Keselamatan dan Bahaya Kimia AS pada Rabu mengumumkan bahawa ia telah membuka siasatan terhadap insiden itu dan sepasukan penyiasatnya akan tiba di lokasi kejadian.
Pegawai bomba tempatan berkata tangki itu melepaskan sejumlah besar bahan kimia menghakis berkenaan dan memaklumkan usaha pemulihan akan dilakukan secara “perlahan, sistematik dan berhati-hati” berikutan ketidakstabilan struktur tangki yang rosak serta risiko pendedahan kepada bahan kimia menghakis.
Menurut pegawai itu, mana-mana mangsa yang ditemukan akan menjalani proses dekontaminasi sebelum dibawa ke pejabat koroner untuk proses pengecaman dan pemberitahuan kepada keluarga.
Pegawai tempatan berkata kerosakan tangki itu tidak menjejaskan keselamatan udara dan bekalan air minuman di Longview, walaupun sebahagian pencemaran telah sampai ke Sungai Columbia dan ujian masih dijalankan.
Gabenor Washington Bob Ferguson berkata pada Rabu bahawa pihak berkuasa sedang bersiap sedia menghadapi kemungkinan insiden itu menjadi “tragedi industri paling dahsyat dalam sejarah moden negeri Washington.”
Ledakan tangki itu berlaku di sebuah kemudahan yang dikendalikan oleh Nippon Dynawave Packaging Co, anak syarikat Nippon Paper Group dari Jepun.
Punca insiden itu masih dalam siasatan.
-- BERNAMA-XINHUA