JAKARTA: Angka korban akibat perlanggaran kereta api di Stesen Bekasi Timur, Jawa Barat meningkat kepada tujuh orang, manakala 85 lagi cedera, menurut pihak berkuasa Indonesia ketika operasi mencari dan menyelamat memasuki hari kedua.
Ketua Pejabat Mencari dan Menyelamat Jakarta (Basarnas), Desiana Kartika Bahari berkata setakat 7.30 pagi waktu tempatan, seramai 92 mangsa direkodkan, terdiri daripada 85 mangsa terselamat yang menerima rawatan di hospital atau dibenarkan pulang selepas mengalami kecederaan ringan, dan tujuh kematian.
Advertisement
Beliau berkata operasi masih tertumpu kepada usaha mengesan dan mengeluarkan mangsa yang dipercayai masih terperangkap dalam gerabak kereta api.
“Memasuki hari kedua, kami terus mengoptimumkan semua anggota Basarnas bersama elemen SAR. Proses pemindahan dilakukan dengan berhati-hati berikutan kerosakan teruk pada gerabak kereta api.
“Keutamaan kami adalah mengesan dan mengeluarkan semua mangsa secepat mungkin,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Perlanggaran berlaku lewat Isnin apabila sebuah tren komuter yang berhenti di landasan 1 menuju ke Cikarang dilanggar dari belakang oleh tren jarak jauh yang tiba di landasan sama.
Sementara itu, Naib Presiden Komunikasi Korporat Kereta Api Indonesia (KAI), Anne Purba mengesahkan semua mangsa maut dan cedera adalah penumpang tren komuter.
Beliau berkata kesemua 240 penumpang tren jarak jauh Argo Bromo Anggrek terselamat dalam kejadian itu.
Anne berkata syarikat berkenaan komited memberikan sokongan penuh kepada mangsa dan keluarga terjejas, termasuk memastikan proses pengendalian dilakukan dengan cepat, teratur dan diselaraskan dengan semua pihak berkaitan.
Beliau berkata usaha pemindahan mengambil masa beberapa jam apabila pasukan penyelamat bekerja dengan berhati-hati untuk membantu mangsa terselamat yang masih terperangkap.
-- BERNAMA