DUNIA
Angka korban serangan Israel ke atas Iran meningkat kepada 224 orang

Anggota bomba dan pasukan penyelamat melakukan kerja-kerja mencari dan menyelamat susulan serangan peluru berpandu dari Iran ke atas Israel, di Haifa, Israel, pada Ahad. - Gambar Reuters
TEHRAN: Israel mendakwa berjaya menguasai ruang udara Iran hampir sepenuhnya dalam gelombang serangan udara hari ketiga pada Ahad, yang menyasarkan lebih ramai pegawai kanan keselamatan negara itu.
Dalam masa yang sama, beberapa peluru berpandu Iran dilaporkan berjaya melepasi sistem pertahanan udara Israel.
Kedua-dua negara kini saling mengancam untuk melancarkan lebih banyak serangan balas.
Kementerian Kesihatan Iran dalam kenyataan yang dikeluarkan berkata, seramai 224 orang telah terkorban sejak serangan Israel bermula pada Jumaat lalu.Jurucakap kementerian, Hossein Kermanpour memaklumkan di media sosial, seramai 1,277 lagi telah dimasukkan ke hospital, dan mendakwa lebih 90 peratus daripada jumlah mangsa adalah orang awam.
Iran turut mengesahkan bahawa dua loji penapisan minyak diserang Israel, sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap kemungkinan serangan yang lebih meluas ke atas sektor tenaga Iran yang kini sudah pun dikenakan sekatan antarabangsa - yang berpotensi memberi kesan kepada pasaran global.
Tentera Israel pula melalui satu hantaran di media sosial memberi amaran kepada rakyat Iran agar segera mengosongkan kilang-kilang senjata, sebagai isyarat kempen ketenteraan itu mungkin diperluas lagi.
Sekitar tengah hari Ahad waktu tempatan, beberapa letupan baharu kedengaran di ibu negara Tehran.
Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump terus menyatakan sokongan penuh terhadap tindakan Israel sambil memberi amaran kepada Iran bahawa hanya melalui persetujuan terhadap perjanjian nuklear baharu sahaja negara itu boleh mengelakkan kemusnahan yang lebih besar.
Dalam pada itu, Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi berkata, sekiranya Israel menghentikan serangan, maka Iran juga akan menghentikan tindak balas.
“Amerika Syarikat adalah rakan dalam serangan ini dan perlu memikul tanggungjawab,” tegas beliau.
Letupan turut dilaporkan kedengaran di beberapa lokasi lain di Iran awal pagi Ahad, namun tiada angka korban baharu dikeluarkan setakat ini.
Pada hari sebelumnya, Duta Iran ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan seramai 78 orang terkorban dan lebih 320 lagi cedera.
Sementara di pIsrael, perkhidmatan kecemasan Magen David Adom memaklumkan, serangan peluru berpandu Iran sepanjang malam dan pagi Ahad telah mengorbankan sekurang-kurangnya 10 orang.
Ini menjadikan jumlah korban di Israel meningkat kepada 13 orang. - Agensi
.
.
Konflik bersenjata antara Iran dan Israel kini memasuki hari ketiga, menyaksikan pertukaran serangan peluru berpandu yang semakin hebat dan korban jiwa yang terus meningkat.
Menurut perkhidmatan kecemasan Magen David Adom di Israel, sekurang-kurangnya 10 rakyat negara itu maut dalam serangan peluru berpandu Iran yang berlaku sepanjang malam hingga ke pagi Ahad, menjadikan jumlah kematian keseluruhan kepada 13 orang.
Lapangan terbang utama negara itu serta ruang udara kekal ditutup buat hari ketiga berturut-turut.
Sementara itu, Duta Iran ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengemas kini angka korban di negaranya kepada 128 maut dan lebih 900 cedera, susulan serangan udara Israel ke atas ibu pejabat Kementerian Pertahanan Iran di Tehran serta beberapa lokasi berkaitan program nuklear Iran.
Israel turut memberi amaran bahawa serangan seterusnya mungkin lebih dahsyat.
Sumber tentera menyatakan beberapa sasaran berkepentingan tinggi milik Iran, termasuk kemudahan ketenteraan dan nuklear, telah dimusnahkan, menyebabkan kematian beberapa jeneral kanan dan saintis nuklear terkemuka negara itu.
Presiden Amerika Syarikat (A)S, Donald Trump, dalam satu kenyataan, menegaskan bahawa Washington "tidak terlibat" dalam serangan ke atas Iran, namun memberi amaran bahawa Tehran akan menerima “kekuatan penuh Angkatan Tentera AS” sekiranya bertindak balas terhadap kepentingan Amerika.
Trump turut menyatakan sokongan penuh terhadap tindakan Israel sambil menyeru Iran agar menerima rundingan semula berhubung perjanjian nuklear jika mahu mengelakkan lebih banyak kemusnahan.
Dalam perkembangan sama, Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi menegaskan, “jika serangan Israel dihentikan, maka tindak balas kami juga akan berhenti.”
Beliau trut menuduh Amerika Syarikat sebagai rakan kongsi dalam serangan tersebut dan harus bertanggungjawab sepenuhnya.
Kebimbangan antarabangsa kian meningkat apabila penganalisis menjangkakan konflik ini boleh berlanjutan dalam jangka masa panjang, melibatkan lebih banyak negara di rantau Asia Barat. - Agensi

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami