KUALA LUMPUR: Koperasi di rantau Asia Pasifik perlu segera beralih kepada pelaksanaan kerja yang nyata dan memberi impak dalam aktiviti perdagangan rentas sempadan, berbanding kekal pada tahap perbincangan semata-mata, kata Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah.
Beliau, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan dan Perniagaan Ikatan Koperasi Antarabangsa Asia dan Pasifik (ICA-AP), berkata peralihan itu penting bagi memastikan setiap jaringan kerjasama yang dibina tidak hanya bersifat simbolik tetapi diterjemahkan kepada nilai ekonomi yang lebih konkrit.
Advertisement
Abdul Fattah menerusi kenyataan dikeluarkan ANGKASA hari ini, berkata keutamaan kini adalah memastikan setiap inisiatif yang dilaksanakan membawa kepada kerjasama dan perdagangan yang memberi nilai sebenar kepada anggota koperasi.
“Selama ini kita telah banyak membina hubungan strategik melalui sesi perbincangan. Persekitaran perdagangan global hari ini semakin mencabar tetapi pada masa yang sama turut menawarkan pelbagai peluang baharu.
“Koperasi mempunyai peranan yang unik kerana kita bukan sahaja dipacu oleh matlamat ekonomi malah berteraskan nilai, keterangkuman dan manfaat bersama,” katanya dalam ucapan aluan pada Forum Akses Pasaran Koperasi Asia Pasifik 2026 di Xi’an, China, semalam.
Forum dua hari yang bermula semalam itu dianjurkan oleh Jawatankuasa Perdagangan dan Perniagaan ICA-AP serta dihoskan oleh All China Federation of Supply and Marketing Cooperatives (ACFSMC).
Dilaksanakan dalam format makmal pembelajaran, forum itu menggabungkan pembentangan berstruktur, penilaian produk secara praktikal dan perbincangan perdagangan interaktif, sekali gus membolehkan peserta memperoleh pemahaman pasaran, menilai kesiapsiagaan produk, memahami jangkaan pasaran, berkongsi amalan terbaik serta meneroka peluang kerjasama lebih luas.
Abdul Fattah yang juga Presiden Pertubuhan Koperasi ASEAN (ACO) berkata platform seumpama itu perlu dimanfaatkan sepenuhnya bagi menghubungkan koperasi, memperluas jaringan dan membuka ruang kepada peluang perdagangan.
“Aspek kesiapsiagaan pasaran menjadi faktor kritikal dalam memastikan kejayaan koperasi menembusi pasaran serantau dan antarabangsa.
“Malah, satu pernyataan minat yang kecil boleh menjadi titik permulaan kepada kerjasama yang lebih besar dengan syarat disusuli tindakan dan komitmen,” katanya.
Sempena forum berkenaan, Abdul Fattah turut mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Perdagangan dan Perniagaan ICA-AP yang pertama bagi 2026 pada Ahad lepas.
Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ANGKASA merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kerja Perdagangan dan Perniagaan ICA-AP Datuk Abdullah Jusoh yang membentangkan cadangan pembangunan platform digital bersepadu dikenali sebagai CoopTrade Asia sebagai langkah ke arah penyelesaian yang lebih tersusun dan berpusat.
Mesyuarat itu berfungsi sebagai sistem bersepadu bagi mengumpul, mengurus dan memudah cara akses kepada data perdagangan koperasi di peringkat Asia Pasifik seterusnya meningkatkan keterlihatan produk, memudah cara jaringan perniagaan serta memperluas peluang perdagangan rentas sempadan.
Menurut Abdul Fattah ia dibangunkan berasaskan Pelan Strategik Tiga Tahun (2022–2024) yang memberi tumpuan kepada pengumpulan maklumat produk dan perkhidmatan koperasi serta pembinaan pangkalan data serantau bagi memperkemas urusan perdagangan.
“Inisiatif awal termasuklah pelaksanaan kajian perdagangan dan perniagaan yang dilancarkan pada 2023 bagi mengumpul data berkaitan aktiviti jual beli, penggunaan platform e-dagang serta potensi kerjasama dalam kalangan koperasi di rantau ini.
“Data yang diperoleh kemudiannya diperkemas dan divisualisasikan melalui sistem analitik bagi memberikan gambaran lebih jelas mengenai landskap perdagangan serantau serta membantu proses membuat keputusan yang lebih berkesan,” katanya.
Delegasi ANGKASA turut mengadakan pertemuan dua hala dengan ACFSMC yang diketuai Presidennya Wang Yuyan dan mencadangkan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara kedua-dua pihak sebagai langkah memperkukuh kerjasama strategik khususnya dalam bidang perdagangan dan perniagaan koperasi, sekali gus membuka lebih banyak peluang kolaborasi antara Malaysia dan China.
-- BERNAMA