DUNIA

Angkasawan Apollo 13, Jim Lovell meninggal dunia pada usia 97 tahun

Agensi 08/08/2025 | 23:00 MYT
Lovell merupakan angkasawan pertama yang menyertai empat misi angkasa lepas, dengan jumlah masa lebih 715 jam di orbit. - Foto REUTERS
WASHINGTON: Angkasawan legenda NASA, Jim Lovell, yang terkenal kerana mengetuai misi dramatik Apollo 13 yang terpaksa membatalkan pendaratan di bulan pada tahun 1970, disahkan meninggal dunia pada usia 97 tahun.

Menurut kenyataan NASA, Lovell menghembuskan nafas terakhir pada 7 Ogos di Lake Forest, Illinois. Punca kematian tidak didedahkan.

Dalam satu kenyataan, keluarga Lovell memohon privasi namun berkongsi rasa dukacita atas pemergian figura yang disayangi itu.

“Kami berduka cita mengumumkan pemergian ayah kami tercinta, Kapten James A. ‘Jim’ Lovell, juruterbang dan pegawai Tentera Laut AS, angkasawan, pemimpin dan penjelajah angkasa. Kami amat berbangga dengan kehidupan dan pencapaiannya yang luar biasa, terutama kepimpinannya dalam meneroka penerbangan angkasa lepas.”

“Namun bagi kami, dia adalah Ayah, Atuk, dan Ketua keluarga kami. Dia adalah wira kami. Kami akan merindui semangat optimisnya yang tidak pernah luntur, sifat lucunya, dan cara dia membuat kami rasa seolah-olah tiada yang mustahil,” kata keluarganya.

Lovell sudah pun dikenali dalam kalangan angkasawan NASA selepas menggalas misi Gemini 7, Gemini 12 dan Apollo 8, sebelum dipilih mengetuai Apollo 13 — misi ketiga yang dirancang untuk mendaratkan manusia di bulan.

Namun, ketika berada kira-kira 322,000 kilometer dari Bumi, sebuah tangki oksigen dalam modul servis kapal angkasa Apollo 13 meletup, sekaligus menggagalkan misi.

Lovell kemudiannya menyampaikan mesej yang kini ikonik kepada pusat kawalan NASA: “Houston, we’ve had a problem.”

Letupan itu merosakkan sumber tenaga dan sistem sokongan hayat kapal, memaksa tiga angkasawan — Lovell, John Swigert Jr. dan Fred Haise Jr. — membatalkan misi ke bulan dan menggunakan enjin secara berhati-hati untuk berpusing mengelilingi sisi jauh bulan dan kembali ke Bumi.

Mereka berjaya membuat pendaratan kecemasan di Lautan Pasifik Selatan tiga hari kemudian - pencapaian luar biasa yang kini dikenali sebagai “kegagalan yang berjaya” dalam sejarah misi Apollo.

Peristiwa ini turut diangkat ke layar perak menerusi filem "Apollo 13" arahan Ron Howard pada tahun 1995.

Walaupun tidak pernah berjaya menjejakkan kaki ke permukaan bulan, Lovell tetap menjadi simbol ketabahan dan kepimpinan.

“Dua kali jadi pengapit, tapi tak pernah jadi pengantin,” kata Lovell berseloroh kepada CNN pada 2008, merujuk kepada dua misi bulan yang disertainya — Apollo 8 dan Apollo 13 — namun tiada satu pun sampai ke permukaan.

Beliau mengakui pernah menyimpan rasa kecewa, namun akhirnya menerima bahawa kejayaan sebenar Apollo 13 ialah pulangnya kru dalam keadaan selamat.

Dalam kenyataan susulan pemergian Lovell, Pemangku Pentadbir NASA, Sean Duffy menyifatkan Lovell sebagai simbol kekuatan dan ketenangan di saat getir.

“Ketenangan dan kebijaksanaannya menyelamatkan misi dan membentuk asas kepada penerbangan angkasa lepas masa depan NASA,” kata Duffy.

Lovell merupakan angkasawan pertama yang menyertai empat misi angkasa lepas, dengan jumlah masa lebih 715 jam di orbit.

Beliau adalah antara kumpulan angkasawan kedua NASA yang dipilih pada tahun 1962 — kumpulan yang digelar “New Nine”.

Melalui penyertaan dalam Apollo 8 dan kemudian Apollo 13, Lovell menjadi manusia pertama melihat permukaan bulan dari dekat sebanyak dua kali.

Dalam temu bual CNN pada 2018 ketika berusia 90 tahun, Lovell mengimbau kenangan sebagai jurunavigasi Apollo 8 — misi pertama yang mengelilingi bulan.

“Bagi saya, ia ibarat ekspedisi Lewis dan Clark versi mini,” katanya. “Kami ke satu tempat baharu untuk melihat sisi bulan yang tidak pernah disaksikan manusia sebelum itu.”

Lovell turut berkongsi saat menyentuh hatinya ketika melihat Bumi dari jendela kapal angkasa, cukup kecil hingga boleh ditutupi dengan ibu jarinya.

“Di sebalik ibu jari saya itu ada kira-kira 3.5 bilion manusia dan segala yang saya tahu. Saat itu saya mula melihat kehidupan dan tempat saya dalam dunia ini dari perspektif berbeza,” katanya.

Ketika misi Apollo 8 juga, rakan sepasukannya, William Anders, merakam gambar ikonik “Earthrise” — imej Bumi terbit dari ufuk bulan — pada malam Krismas 1968. Gambar itu bukan sahaja memukau dunia, malah menjadi simbol kepada gerakan pemeliharaan alam sekitar.

Lovell, Anders dan seorang lagi kru Apollo 8, Frank Borman, turut diiktiraf sebagai “Lelaki Tahun Ini” oleh Time Magazine pada 1968.

Pemergian Jim Lovell bukan sahaja kehilangan kepada komuniti angkasa lepas, tetapi kepada seluruh dunia yang pernah terinspirasi oleh semangat dan ketabahannya. - Agensi







#Angkasawan Apollo 13 #Jim Lovell #Jim Lovell meninggal dunia