DUNIA

Angkasawan NASA mulakan pemindahan perubatan dari stesen angkasa

Astro Awani 15/01/2026 | 00:00 MYT
Paparan skrin daripada video yang disediakan NASA TV menunjukkan kapsul SpaceX Dragon berlepas dari ISS sejurus berpisah, dengan empat anggota kru NASA Crew-11 di dalamnya. - Foto AP
WASHINGTON: Empat angkasawan NASA meninggalkan Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) sebulan lebih awal dalam pemindahan perubatan pertama sejak stesen itu ditempatkan di orbit Bumi pada 1998.

Kumpulan dikenali sebagai Crew 11 dijangka mendarat di laut berhampiran pantai California pada awal pagi Khamis waktu tempatan.

NASA memaklumkan kepulangan lebih awal itu susulan masalah kesihatan melibatkan seorang kru, namun tidak mendedahkan butiran lanjut.

Agensi berkenaan berkata keadaan kru terbabit adalah stabil.

Kawalan ISS kini diserahkan kepada angkasawan Rusia, Sergey Kud-Sverchkov, bersama dua kru lain.

Crew 11 terdiri daripada Mike Fincke dan Zena Cardman, angkasawan Jepun Kimiya Yui serta kosmonaut Rusia Oleg Platonov.

Mereka tiba di ISS pada 1 Ogos lalu dan dijadualkan tinggal selama kira-kira enam setengah bulan sebelum pulang pada pertengahan Februari.

Minggu lalu, aktiviti berjalan di angkasa oleh Fincke dan Cardman dibatalkan pada saat akhir.

Beberapa jam kemudian, NASA mengesahkan seorang kru jatuh sakit.

“Ia satu perasaan bercampur-baur,” kata Fincke ketika menyerahkan tanggungjawab ISS kepada Kud-Sverchkov pada Isnin, sambil menegaskan semua kru berada dalam keadaan “stabil, selamat dan dijaga rapi”.

ISS mengorbit Bumi pada ketinggian kira-kira 400 kilometer, mengelilingi planet ini 16 kali sehari pada kelajuan sekitar 28,000 kilometer sejam.

Stesen itu dikendalikan lima agensi angkasa dan menjalankan penyelidikan saintifik berkaitan angkasa serta kesan mikrograviti ke atas manusia, haiwan dan tumbuhan.

Walaupun ISS dilengkapi peralatan perubatan asas dan angkasawan dilatih menangani masalah kecil, tiada doktor sepenuh masa berada di atas stesen itu.

Pemergian awal ini menyebabkan ISS kini hanya mempunyai tiga kru, Chris Williams, Kud-Sverchkov dan Sergei Mikaev, sehingga ketibaan empat angkasawan baharu pada Februari.

Pengurangan kru dijangka menjejaskan jumlah kerja saintifik yang dapat dijalankan.

Insiden ini belum pernah berlaku dalam sejarah 26 tahun ISS yang sentiasa didiami.

Sebelum ini, misi angkasa ditamatkan lebih awal atas faktor kesihatan hanya dua kali, kedua-duanya melibatkan kosmonaut Soviet pada 1985 dan 1987.

Pakar angkasa berkata, dengan semakin ramai manusia ke angkasa termasuk untuk pelancongan dan kemungkinan penempatan di Bulan atau Marikh, kehadiran doktor dalam misi masa depan mungkin menjadi keperluan.






#NASA #Crew 11 #ISS #pemindahan perubatan