Skip to main content

Dunia

Angkasawan Shenzhou-21 pulang ke bumi selepas misi 210 hari

FILE - Chinese astronaut for the Shenzhou 21 mission, from left, Zhang Hongzhang, Wu Fei and Zhang Lu wave as they attend a see-off ceremony for their manned space mission at the Jiuquan Satellite Launch Center in northwestern China, Friday, Oct. 31, 2025. (AP Photo/Andy Wong, File)
Angkasawan China bagi misi Shenzhou-21, dari kiri, Zhang Hongzhang, Wu Fei dan Zhang Lu melambai ketika menghadiri majlis pelepasan misi angkasa berawak di Pusat Pelancaran Satelit Jiuquan di barat laut China. - Foto fail/AP

JIUQUAN: Tiga angkasawan misi Shenzhou-21 China kembali ke Bumi dengan selamat pada petang Jumaat dengan kapal angkasa kru Shenzhou-22, menamatkan tempoh 210 hari di orbit yang juga rekod baharu misi satu anak kapal terpanjang di stesen angkasa China, lapor Xinhua.

Ketiga-tiga mereka yang terdiri daripada Zhang Lu, Wu Fei dan Zhang Hongzhang semuanya berada dalam keadaan sihat, menurut Agensi Angkasa Lepas Berawak China (CMSA), sambil menyatakan misi penerbangan angkasa Shenzhou-21 satu kejayaan.

Pada 7.20 malam (waktu Beijing), Pusat Kawalan Aeroangkasa Beijing mengeluarkan arahan pemulangan melalui stesen bumi, dan sebagai tindak balas kapsul orbit kapal angkasa Shenzhou-22 dipisahkan daripada kapsul pemulangan.

Enjin brek kemudian dinyalakan, dan kapsul kembali dipisahkan daripada kapsul pendorong. Kapsul pemulangan mendarat pada 8.11 malam di tapak pendaratan Dongfeng di Mongolia Dalam, utara China, menurut CMSA, manakala pada 8.59 malam, kru Shenzhou-21 kesemuanya telah meninggalkan kapsul pemulangan.

"Pelayaran seseorang ke lautan bintang bergantung pada kebaktian dan kesetiaan sejati seluruh pasukan," kata Zhang Lu, komander misi kru dan seorang angkasawan veteran dalam penerbangan angkasa lepas keduanya, menyatakan terima kasih atas sokongan keluarga, semua kakitangan yang mengambil bahagian dalam program angkasa lepas berawak, negara dan rakyat China.

Zhang Lu telah melaksanakan sebanyak tujuh aktiviti ekstravehikular (EVA) setakat ini, menjadikan beliau angkasawan China paling banyak ‘berjalan’ di angkasa lepas setakat ini.

-- BERNAMA-XINHUA

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement