DUNIA

Anutin bayangkan pembubaran awal Parlimen Thailand

Bernama 11/12/2025 | 21:30 MYT
September lalu, Anutin berkata, beliau merancang membubarkan Parlimen menjelang akhir Januari, dengan pilihan raya umum dijangka diadakan pada Mac atau awal April. - Gambar fail/REUTERS
BANGKOK: Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul memberi bayangan akan membubarkan Dewan Perwakilan, sekali gus membuka laluan kepada pilihan raya umum baharu.

Dalam hantaran terbaharunya di Facebook pada Khamis malam, Anutin menulis dalam bahasa Thai: "Saya mengembalikan kuasa kepada rakyat."

Beberapa media tempatan Thailand melaporkan bahawa Anutin telah menyerahkan dekri diraja bagi pembubaran Dewan untuk mendapat perkenan diraja petang Khamis, dengan tumpuan kini terarah kepada sama ada Warta Diraja akan menerbitkan perintah diraja itu lewat Khamis malam.


Anutin sebelum ini berkata pada September bahawa beliau merancang membubarkan Parlimen menjelang akhir Januari, dengan pilihan raya umum dijangka diadakan pada Mac atau awal April.

Masih tidak jelas sama ada mesej terbaharunya itu menandakan beliau akan bertindak lebih awal daripada yang diumumkan sebelum ini.

-- BERNAMA


#Anutin Charnvirakul #Thailand #pilihan raya umum #pembubaran Parlimen #dekri diraja