[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
DUNIA

Anutin Charnvirakul angkat sumpah PM Thailand baharu selepas perkenan Diraja

Astro Awani 07/09/2025 | 08:45 MYT
Anutin Charnvirakul dilantik sebagai Perdana Menteri Thailand selepas menewaskan Parti Pheu Thai dan menerima perkenan diraja daripada Raja Maha Vajiralongkorn. -Reuters
BANGKOK: Ahli politik veteran dan tokoh perniagaan, Anutin Charnvirakul, secara rasmi dilantik sebagai Perdana Menteri Thailand selepas menerima perkenan diraja daripada Raja Maha Vajiralongkorn dalam satu majlis rasmi di ibu pejabat Parti Bhumjaithai, di sini, pada Ahad.


Ringkasan AI
  • Anutin Charnvirakul dilantik sebagai Perdana Menteri Thailand selepas menewaskan Parti Pheu Thai dan menerima perkenan diraja daripada Raja Maha Vajiralongkorn.
  • Beliau perlu membubarkan Parlimen dalam tempoh empat bulan dan mengadakan pilihan raya baharu, selaras dengan sokongan rakyat yang mahukan sistem lebih demokratik.
  • Anutin dijangka fokus kepada pemulihan ekonomi, reformasi politik dan hubungan serantau, dengan pelantikan tokoh bukan ahli Parlimen mengetuai kementerian utama.


Pelantikan Anutin, 58, berlaku hanya dua hari selepas beliau memenangi undian Parlimen, menyingkirkan penguasaan Parti Pheu Thai yang diterajui oleh dinasti Shinawatra sejak pilihan raya umum 2023.

Beliau menggantikan Paetongtarn Shinawatra yang disingkirkan oleh Mahkamah Perlembagaan atas pelanggaran etika menteri berhubung panggilan telefon kontroversi dengan Presiden Senat Kemboja sebelum tercetusnya konflik sempadan berdarah pada Julai lalu.

Dalam ucapannya selepas menerima surat pelantikan, Anutin menyifatkan perkenan diraja itu sebagai rahmat dan penghormatan yang tiada batas buat dirinya dan keluarga.

Beliau berikrar untuk menjalankan tugas dengan penuh kejujuran dan integriti demi kestabilan negara dan kesejahteraan rakyat Thailand.

Anutin, yang terkenal sebagai arkitek utama dasar penghalalan ganja perubatan pada 2022, turut pernah berkhidmat sebagai Menteri Kesihatan, Menteri Dalam Negeri dan Timbalan Perdana Menteri.

Beliau kini menjadi perdana menteri ketiga Thailand dalam tempoh dua tahun, mencerminkan ketidakstabilan politik yang berpanjangan di negara itu.

Namun, sokongan terhadap Anutin datang dengan syarat: beliau perlu membubarkan Parlimen dalam tempoh empat bulan dan mengadakan pilihan raya baharu.

Tinjauan oleh Institut Pembangunan Pentadbiran Nasional menunjukkan hampir 60 peratus pengundi menyokong pembubaran segera Parlimen dan pindaan perlembagaan untuk menjadikan sistem lebih demokratik.

Bagi memperkukuh keyakinan terhadap pentadbiran baharunya, Anutin telah menamakan tiga tokoh bukan ahli Parlimen untuk mengetuai kementerian utama: Ekniti Nitithanprapas sebagai Menteri Kewangan, Auttapol Rerkpiboon sebagai Menteri Tenaga, dan diplomat veteran Sihasak Phuangketkeow sebagai Menteri Luar Negeri.

Pelantikan ini berlaku dalam suasana ekonomi yang mencabar, dengan pertumbuhan Thailand dijangka hanya sekitar 2 peratus tahun ini — jauh ketinggalan berbanding negara jiran seperti Indonesia dan Filipina.

Anutin dijangka memberi tumpuan kepada pemulihan ekonomi, reformasi politik dan pengukuhan hubungan serantau.








#Anutin Charnvirakul #Perdana Menteri Thailand #perkenan diraja #Maha Vajiralongkorn