DUNIA
Anwar bertemu teraju aeroangkasa Brazil, Embraer

Anwar menegaskan komitmen Malaysia untuk memperkukuh ekosistem industri penerbangan negara melalui dasar mesra pelabur, pembangunan bakat tempatan serta kerjasama teknologi berimpak tinggi. - PMO
RIO DE JANEIRO: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Ahad mengadakan pertemuan dengan syarikat pengeluar pesawat Brazil, Embraer.
Ia diwakili oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Francisco Gomes Neto, bagi membincangkan peluang pelaburan strategik di Malaysia.
Anwar menegaskan komitmen kerajaan MADANI untuk memperkukuh ekosistem industri penerbangan negara melalui dasar mesra pelabur, pembangunan bakat tempatan serta kerjasama teknologi berimpak tinggi.
“Malaysia berhasrat untuk menjadi hab aeroangkasa utama di rantau ASEAN dengan menawarkan tenaga kerja berkemahiran tinggi dan ekosistem industri yang kukuh serta berdaya saing,” kata beliau.Perbincangan turut menyentuh potensi pelaburan Embraer di Malaysia termasuk kerjasama dengan syarikat penerbangan tempatan serta pembangunan pusat penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO), latihan juruterbang, rantaian bekalan dan inovasi pesawat rendah karbon.
Malaysia turut mengalu-alukan penyertaan Embraer dalam inisiatif sejajar dengan Pelan Induk Aeroangkasa Negara 2030, yang memberi penekanan kepada kelestarian dan teknologi hijau dalam sektor penerbangan.
Selain sektor komersial, Perdana Menteri turut menghargai minat Embraer untuk memperkukuh kerjasama dalam sektor pertahanan, khususnya dalam meningkatkan keupayaan mobiliti udara Angkatan Tentera Malaysia.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami