[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
DUNIA

Anwar bincang isu sempadan dengan PM Thailand, Kemboja

Ernalisa Othman 19/09/2025 | 04:10 MYT
Anwar berucap ketika merasmikan Sidang Kemuncak Halal Global (GHaS) 2025 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini hari ini. - Gambar/ Shahir Omar/ Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan beliau berbincang dengan pimpinan tertinggi Thailand dan Kemboja berhubung perkembangan terkini di kawasan sempadan kedua-dua negara berkenaan, semalam.


Ringkasan AI
  • Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan telah berbincang dengan Perdana Menteri Thailand dan Kemboja berhubung isu sempadan kedua-dua negara, namun tidak mengulas lanjut mengenai hasil pertemuan tersebut.
  • Ketegangan tercetus susulan dakwaan Kemboja bahawa tentera Thailand menghalang lebih 20 keluarga rakyatnya kembali ke kediaman di kawasan pertikaian, termasuk tindakan memasang kawat berduri dan pengusiran yang dianggap melanggar hak kemanusiaan.
  • Thailand menafikan dakwaan tersebut dan menyatakan penduduk Kemboja menceroboh wilayahnya serta terlibat dalam insiden keganasan, dengan pertikaian ini berkait sejarah perebutan kuil purba di sepanjang sempadan yang pernah mencetuskan pertempuran berdarah.


Menurut Anwar, beliau mengadakan perbincangan itu melalui panggilan telefon bersama Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul, dan rakan sejawatnya dari Kemboja, Hun Manet.

“Semalam saya sempat berbincang dengan Perdana Menteri Thailand dan juga Perdana Menteri Kemboja, itu sahaja,” katanya ringkas.

Beliau menyatakan demikian kepada media selepas merasmikan Sidang Kemuncak Halal Global (GHaS) 2025 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini hari ini.

Namun, Perdana Menteri tidak mengulas lanjut mengenai hasil perbincangan yang dijalankan bersama kedua-dua pemimpin tersebut.

Terdahulu, Kemboja mendakwa pihak tentera Thailand menghalang lebih 20 keluarga rakyatnya untuk kembali ke kediaman mereka di kawasan sempadan yang menjadi pertikaian.

Dakwaan itu dikemukakan Hun Manet menerusi sepucuk surat rasmi kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Dalam surat berkenaan, Hun Manet menuduh Thailand memperluaskan kawasan konflik dengan memasang kawat berduri, membuat sekatan serta menghalau rakyat Kemboja dari tanah yang diduduki mereka sejak sekian lama.

Beliau turut menggesa ASEAN mendesak Thailand menghentikan kekerasan dan tindakan pengusiran yang dianggap melanggar hak kemanusiaan.

Thailand pula menegaskan bahawa penduduk Kemboja terbabit sebenarnya menceroboh dan tinggal secara haram di dalam wilayahnya.

Jurucakap tentera Thailand, Winthai Suvaree berkata, kumpulan penduduk itu juga terbabit dalam insiden keganasan sehari sebelumnya dengan sengaja mencetuskan kekacauan.

Ketegangan berkenaan adalah lanjutan daripada pertikaian lama mengenai sebuah kuil purba yang menjadi rebutan di sepanjang 800 kilometer sempadan dua negara jiran itu.

Pada Julai lalu, kedua-dua negara mencapai persetujuan gencatan senjata selepas pertempuran meletus hingga meragut kira-kira 43 nyawa.



#ASEAN25 #Anwar Ibrahim #konflik Thailand-Kemboja #Perdana Menteri