DUNIA

Anwar gesa dunia bersikap adil terhadap isu nuklear Iran

Harits Asyraf Hasnan 04/07/2025 | 21:40 MYT
Anwar menghadiri sidang media bersama Macron di Istana Elysee, Paris, 4 Julai 2025. - Foto PMO
PARIS: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat menyatakan sokongan tegas terhadap usaha diplomatik Presiden Perancis, Emmanuel Macron untuk menangani konflik di Gaza.

Beliau pada masa sama menggesa masyarakat antarabangsa supaya mengamalkan pendirian yang konsisten dalam isu penggunaan teknologi nuklear.

Bercakap pada sidang media bersama sempena lawatan rasmi beliau ke Perancis, Anwar memuji usaha Macron yang disifatkan sebagai “berterusan dan penuh semangat” dalam memperjuangkan keamanan di Gaza, selain mengecam pengeboman dan kekejaman yang terus dilakukan terhadap orang awam.

“Amat mendukacitakan apabila masyarakat antarabangsa masih gagal menyelesaikan isu ini,” kata Anwar.

“Inisiatif anda mendapat sokongan daripada kami – tiada kompromi terhadap usaha damai. Keamanan hanya dapat dicapai dengan komitmen kedua-dua pihak. Sebab itu kami tetap teguh dengan penyelesaian dua negara.”

Anwar turut mengkritik sikap masyarakat antarabangsa yang dilihat bersifat pilih kasih dalam isu dasar nuklear, dengan menegaskan bahawa penggunaan teknologi nuklear untuk tujuan aman tidak boleh dibenarkan kepada sesetengah negara sahaja, manakala negara lain dinafikan hak yang sama.

“Jika anda kata tidak kepada Iran, tetapi ya kepada Israel – itu masalah. Kita mesti menggesa Iran agar menggunakan teknologi nuklear untuk tujuan aman, dan membenarkan pemeriksaan – yang mana mereka sendiri telah berikan komitmen. Tetapi kita perlu pastikan ia dipantau dan dilaksanakan,” katanya.

Pemimpin Malaysia itu turut mengecam tindakan ketenteraan Israel terhadap Iran, dan menegaskan bahawa Malaysia terus menjalin komunikasi dengan Tehran, sambil menyatakan bahawa Malaysia menolak sebarang tindakan yang boleh memburukkan ketegangan.

Beliau menekankan bahawa usaha menghalang percambahan senjata nuklear (nuclear non-proliferation) mesti bersifat menyeluruh dan tidak didorong oleh kepentingan politik semata-mata.

Anwar turut memuji keterlibatan berterusan Macron dalam usaha diplomasi global dan pelbagai hala, yang disifatkan sebagai kunci dalam menangani konflik antarabangsa yang rumit.

“Kita perlukan pemimpin yang bersemangat dan bersungguh-sungguh untuk melakukan sesuatu yang berkesan bagi menyelesaikan masalah dunia yang kelihatan mustahil untuk diatasi,” katanya.

Dalam konteks hubungan dua hala, Anwar turut menzahirkan perkembangan kerjasama yang semakin kukuh antara Malaysia dan Perancis dalam bidang penerbangan, pendidikan dan tenaga bersih.

Ia termasuk pembekalan pesawat Airbus kepada Malaysia Airlines dan AirAsia, kerjasama penangkapan dan penyimpanan karbon (CCUS) bersama Petronas, serta pertukaran pelajar dan pelancongan yang semakin meningkat antara kedua-dua negara.

Sidang media itu diadakan sempena lawatan rasmi Anwar ke Paris yang bertujuan memperkukuh hubungan dua hala dan mengembangkan kerjasama pelbagai hala dalam menangani cabaran global.





#Anwar Ibrahim #Emmanuel Macron #Gaza #nuklear