[LAPOR LANGSUNG] Sumud Flotilla ke Gaza – Perjalanan kini Semakin Hampir. Ikuti perkembangan di sini
DUNIA

Anwar tegas tuntut akses bantuan ke Gaza dibuka segera

Shafiqa Azami 30/09/2025 | 10:23 MYT
Seramai 34 rakyat Malaysia kini menyertai pelayaran flotila bersama aktivis dari 45 negara yang berlayar ke Gaza melalui perairan antarabangsa berhampiran Greece. - Gambar/ Reuters
PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecam sebarang halangan terhadap laluan bantuan kemanusiaan ke Gaza, sambil menegaskan akses segera perlu dibuka bagi mengurangkan penderitaan rakyat Palestin yang kian meruncing.


Ringkasan AI
  • Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengecam sebarang halangan terhadap laluan bantuan ke Gaza dan menegaskan akses segera perlu dibuka bagi mengurangkan penderitaan rakyat Palestin yang semakin meruncing.
  • Malaysia menyertai misi flotila kemanusiaan Sumud Nusantara di bawah Global Sumud Flotilla (GSF), melibatkan 34 rakyat Malaysia bersama aktivis dari 45 negara yang berlayar melalui perairan antarabangsa berhampiran Greece.
  • Flotila membawa bekalan makanan, ubat-ubatan dan mesej keamanan, dengan Malaysia menjadi negara pertama mengiktiraf misi tersebut secara rasmi melalui sokongan Perdana Menteri.


Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, selaku penaung inisiatif kemanusiaan Sumud Nusantara di bawah Global Sumud Flotilla (GSF), Anwar sentiasa mengikuti rapat perkembangan aktivis negara yang kini memasuki zon kuning dan berisiko berdepan ancaman Israel.

“Perdana Menteri menegaskan kerajaan bersama seluruh rakyat Malaysia berdiri teguh menyokong usaha kemanusiaan ini, selaras dengan prinsip solidariti dan keadilan Malaysia MADANI.

“Keberanian serta ketabahan para aktivis amat dihargai kerana ia mencerminkan jiwa rakyat Malaysia yang prihatin terhadap penderitaan saudara kita di Gaza,”

Beliau berkata demikian dalam Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri pada Selasa.

Pada masa sama, Anwar menyeru rakyat Malaysia agar terus bersatu hati mendoakan keselamatan dan memberikan sokongan berterusan kepada misi kemanusiaan tersebut.

Seramai 34 rakyat Malaysia kini menyertai pelayaran flotila bersama aktivis dari 45 negara yang berlayar ke Gaza melalui perairan antarabangsa berhampiran Greece, bagi memecahkan kepungan ke atas wilayah berkenaan.

Malaysia menjadi negara pertama mengiktiraf misi itu menerusi sokongan Perdana Menteri.

Flotila yang membawa bekalan makanan, ubat-ubatan dan mesej keamanan itu mendesak agar peperangan serta krisis kebuluran dihentikan, selain menuntut akses koridor kemanusiaan dibuka ke Gaza.



#Anwar Ibrahim #bantuan kemanusiaan #Gaza #Global Sumud Flotilla GSF