INTERNATIONAL
Apa akan berlaku selepas Pope meninggal dunia?
Farhan Hakimi
21/04/2025
|
09:30 MYT
Gereja Katolik Roman mengesahkan bahawa Pope Francis, 88, meninggal dunia di Vatican City pada Isnin. - AP
DUNIA dikejutkan dengan pemergian Pope Francis, 88, yang meninggal dunia di kediaman rasmi beliau di Casa Santa Marta, Vatican City pada Isnin.
Namun apa akan terjadi sekiranya seorang Pope tidak lagi memimpin Gereja Katolik yang menaungi kira-kira 1.3 bilion penganut Katolik Roman di seluruh dunia?
Menurut media antarabangsa, Gereja Katolik Roma akan memulakan siri upacara terperinci bagi menandakan tamatnya kepimpinan pope dan akan digantikan dengan yang baharu.
Berikut apa yang perlu anda faham mengenai apa yang akan berlaku selepas kematian Pope Francis:
-
Camerlengo (ketua pentadbir Vatican), Kardinal (pemimpin kanan Gereja Katolik) Kevin Farrell dari Amerika Syarikat berketurunan Ireland, perlu secara rasmi mengesahkan kematian Pope, secara tradisi dengan mengetuk kepala Pope tiga kali menggunakan tukul bersalut perak sambil menyebut namanya. Selepas itu, beliau akan mengunci apartmen peribadi Pope dan membuat persiapan untuk pengebumian.
Camerlengo bersama tiga pembantu terpilih akan menentukan bila keranda Pope akan dibawa ke Basilika St. Peter untuk penghormatan awam. Mereka juga memastikan “Cincin Nelayan” milik Pope dipecahkan supaya tidak boleh digunakan oleh orang lain. Bedah siasat tidak akan dilakukan.
Tempoh berkabung berlangsung selama sembilan hari. Kebiasaannya, upacara pengebumian diadakan antara empat hingga enam hari selepas kematian, di Dataran St. Peter, Rom.
Kolej Kardinal (badan rasmi pemimpin kanan Gereja Katolik) akan mengurus hal ehwal harian semasa tempoh kekosongan takhta. Kuasa mereka adalah terhad dan banyak urusan pentadbiran Gereja Pusat akan terhenti buat sementara waktu.
Perbincangan untuk memilih Pope baharu akan bermula antara 15 hingga 20 hari selepas kematian. Tarikh sebenar ditentukan oleh kardinal, yang akan tinggal di dalam kawasan Vatican sepanjang tempoh perbincangan. Mereka akan menginap di hotel Vatican yang menjadi kediaman pilihan Pope Francis semasa tempoh hayatnya.
Semua kardinal berusia bawah 80 tahun layak menyertai pengundian rahsia. Undian memerlukan majoriti dua pertiga ditambah satu untuk memilih Pope baharu. Proses ini boleh mengambil masa beberapa hari dengan beberapa pusingan undian. Setelah terpilih, calon akan ditanya sama ada beliau menerima pelantikan dan nama yang ingin digunakan. Selepas itu, beliau akan mengenakan jubah dan duduk di atas takhta di Sistine Chapel di Vatican untuk menerima penghormatan dan ikrar taat setia daripada kardinal lain.
Dunia akan mengetahui Pope baharu telah dipilih apabila kertas undi dibakar bersama bahan kimia khas yang menghasilkan asap putih dari cerobong. Jika tiada keputusan, asap hitam akan dikeluarkan sebagai petanda undian tidak muktamad dan asap putih selepas Pope terbaharu dilantik.
Setelah itu, dekan Kolej Kardinal (ketua kepada semua kardinal) akan muncul di balkoni utama Basilika St. Peter dan mengumumkan "Habemus Papam" (Kita mempunyai Pope) kepada orang ramai yang berkumpul di dataran. Pope baharu akan tampil dengan jubah rasmi dan mengikut kepercayaan penganut Kristina, memberkati mereka yang berkumpul.