DUNIA

Apa yang berlaku di Gaza adalah genosid - Presiden Brazil

Bernama 05/06/2025 | 16:18 MYT
"Ini bukan perang. Ini adalah genosid," kata Lula dalam sidang media bersama Presiden Perancis Emmanuel Macron di Paris. - Reuters
ISTANBUL: Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva pada Khamis mengecam tindakan ketenteraan Israel di Gaza sebagai "genosid", sambil menggesa usaha global diperbaharui untuk menamatkan perang di Ukraine melalui dialog dan diplomasi, lapor Anadolu Ajansi (AA).

"Ini bukan perang. Ini adalah genosid," kata Lula dalam sidang media bersama Presiden Perancis Emmanuel Macron di Paris.

"Satu genosid yang dilakukan oleh tentera yang sangat terlatih terhadap wanita dan kanak-kanak," katanya, merujuk kepada serangan Israel yang berterusan di Gaza.

Beliau turut mengkritik tindak balas komuniti antarabangsa yang tidak seimbang terhadap kematian orang awam.

"Dalam beberapa hari kebelakangan ini, kita meratapi kematian dua warga Israel. Tetapi pada hari yang sama, dua kanak-kanak Palestin yang membawa beg tepung turut terbunuh - namun tiada solidariti yang sama ditunjukkan," katanya.

Lula mengulangi gesaannya agar Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) direformasi, dengan menyatakan bahawa struktur semasa adalah "lemah dari segi politik" dan tidak mampu mencegah atau menyelesaikan konflik global.

"Afrika dan Amerika Selatan mesti diwakili, dan negara besar seperti Jerman, Jepun dan India berhak mendapat kerusi," katanya.

-- BERNAMA

#Gaza #Palestin #genosid #Israel #Luiz Inacio Lula da Silva #Emmanuel Macron