DUNIA

APEC 2025: Malaysia komited perkukuh pertumbuhan inklusif, mampan - Anwar

Harits Asyraf Hasnan 30/10/2025 | 14:30 MYT
Anwar berkata, ABAC turut menekankan kepentingan kerjasama antara kerajaan dan sektor swasta untuk menangani cabaran bersama, termasuk isu perubahan iklim. - Gambar PMO
GYEONGJU, Korea Selatan: Malaysia menegaskan komitmen untuk memperkukuh pertumbuhan inklusif dan mampan di rantau Asia Pasifik, seiring dengan aspirasi yang digariskan dalam Laporan Tahunan Majlis Penasihat Perniagaan APEC (ABAC) 2025.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, laporan tersebut yang diterimanya daripada Pengerusi ABAC Malaysia Datuk Ruben Emir Gnanalingam menghimpunkan pandangan serta aspirasi komuniti perniagaan di seluruh ekonomi APEC bagi mempertingkat daya saing dan memastikan kemakmuran dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat.

“Seruan laporan ini terhadap perdagangan terbuka berasaskan peraturan adalah selari dengan dasar keterlibatan Malaysia yang berkecuali dan pragmatik.

“Dalam suasana perdagangan global yang semakin berpecah dan tidak menentu, pendekatan seimbang Malaysia untuk mengekalkan hubungan erat dengan Amerika Syarikat dan China sambil berpaksikan kerjasama serantau melalui ASEAN dan platform seperti APEC meletakkan negara sebagai jambatan yang menghubungkan pelbagai blok ekonomi di rantau ini,” katanya dalam satu kenyataan kepada media Malaysia hari ini.

Anwar berkata, laporan ABAC itu memberi penekanan terhadap keperluan memperkukuh rantaian bekalan serantau, mempercepatkan transformasi digital dan meningkatkan penyertaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam ekosistem global.

Beliau berkata, ABAC turut menekankan kepentingan kerjasama antara kerajaan dan sektor swasta untuk menangani cabaran bersama, termasuk isu perubahan iklim, keselamatan tenaga, dan pembangunan modal insan sejajar dengan peralihan kepada ekonomi hijau.

“Malaysia meneliti laporan tersebut dengan penuh perhatian sebagai input penting dalam perbincangan dasar sepanjang Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC (AELM) di Gyeongju.

“Pandangan sektor perniagaan amat penting dalam memastikan dasar yang dirumuskan mencerminkan realiti pasaran dan keperluan masyarakat,” katanya.

Menurut Perdana Menteri, Malaysia akan terus memainkan peranan aktif dalam mengukuhkan kerjasama ekonomi serantau melalui agenda yang berpaksikan kesejahteraan rakyat, keadilan ekonomi dan pembangunan yang seimbang di seluruh ekonomi APEC.

Beliau turut menegaskan bahawa komitmen Malaysia terhadap keterbukaan dan multilateralisme ekonomi perlu dilihat sebagai sebahagian daripada strategi jangka panjang untuk menjadikan rantau Asia Pasifik sebagai kawasan pertumbuhan utama dunia.

“Melalui penyertaan aktif dalam APEC dan ABAC, Malaysia akan terus memperjuangkan kepentingan negara membangun, termasuk memastikan bahawa transformasi digital dan peralihan tenaga dilaksanakan secara inklusif, adil dan mampan,” katanya.

Pemimpin Ekonomi APEC 2025 di Gyeongju menghimpunkan ketua-ketua ekonomi dari 21 ekonomi anggota untuk membincangkan hala tuju pertumbuhan serantau pasca-pandemik, memperkukuh integrasi ekonomi dan memacu kerjasama dalam perdagangan, pelaburan serta inovasi.




#ASEAN #rantaian bekalan #integrasi ekonomi #transformasi digital