APEC: Perjanjian perdagangan AS-Korea Selatan dimuktamad dalam masa terdekat - Trump

Trump turut menekankan perkongsian dalam industri pembinaan kapal antara kedua-dua negara. -Gambar fail/Reuters
SEOUL: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Rabu berkata perjanjian perdagangan dengan Korea Selatan akan dimuktamad "dalam masa terdekat", walaupun rundingan mengenai butiran perjanjian dilaporkan masih buntu, lapor agensi berita Yonhap.
Ringkasan AI
- Presiden AS Donald Trump berkata perjanjian perdagangan dengan Korea Selatan akan dimuktamadkan dalam masa terdekat, walaupun rundingan masih belum mencapai kata putus.
- Perjanjian rangka kerja melibatkan pelaburan US$350 bilion oleh Korea Selatan di AS sebagai balasan kepada pengurangan tarif, namun butiran pelaburan masih belum dimuktamadkan.
- Trump turut memuji kerjasama dalam industri pembinaan kapal dan menjangkakan hasil positif daripada sidang kemuncak bersama Presiden China Xi Jinping di Korea Selatan.
Perjanjian rangka kerja yang dicapai pada Julai lalu menggesa Korea Selatan melabur US$350 bilion di AS sebagai balasan kepada Washington menurunkan tarif timbal balas daripada 25 peratus kepada 15 peratus.
Bagaimanapun, perjanjian itu masih belum dikuatkuasakan berikutan perbezaan mengenai butiran pakej pelaburan berkenaan.
Sidang kemuncak yang dirancang antara Lee dan Trump dijangka menjadi tumpuan pemerhati bagi melihat sebarang kemungkinan kejayaan rundingan.
Trump turut menekankan perkongsian dalam industri pembinaan kapal antara kedua-dua negara.
Beliau turut merujuk kepada pembelian limbungan kapal Philly Shipyard di Philadelphia, Pennsylvania, oleh konglomerat Korea Selatan Hanwha Group tahun lalu.
"Saya percaya ia akan menjadi antara limbungan kapal paling berjaya di dunia. Ia hebat," katanya.
Trump turut menzahirkan penghargaan kepada Lee, yang disifatkannya sebagai "seorang yang hebat", atas penganjuran sidang kemuncak APEC itu.
Menjelang sidang kemuncak beliau pada Khamis dengan Presiden China Xi Jinping di Korea Selatan, Trump menyatakan keyakinan terhadap hasil positif bagi kedua-dua pihak.
"Saya rasa kita akan mencapai sesuatu yang sangat menarik untuk semua pihak, yang juga baik untuk Korea Selatan. Ia baik untuk semua negara," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


