DUNIA

APEC: Permintaan elektrik di negara anggota diunjur melonjak menjelang 2060

Bernama 23/12/2025 | 13:00 MYT
Bagi bangunan, permintaan elektrik terus meningkat yang didorong kebanyakannya oleh pengembangan pusat data serta bebanan kecerdasan buatan (AI). - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Aspek elektrifikasi, pengembangan pusat data serta anjakan sektor pengangkutan mempengaruhi permintaan tenaga di negara Asia Pasifik dengan penggunaan elektrik dijangka melonjak sehingga 96 peratus menjelang 2060.

Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) menerusi laporan Tinjauan Permintaan dan Penawaran Tenaga hari ini, menjangkakan penjanaan elektrik akan meningkat daripada 18,971 terawatt-jam (TWh) pada 2022 kepada 32,690 TWh di bawah dasar semasa.

Keadaan itu, katanya, mencerminkan peralihan struktur daripada penggunaan bahan api fosil secara langsung kepada elektrik yang merentasi pengangkutan, bangunan serta beberapa industri.

Pengerusi merangkap Presiden Asia Pacific Energy Research Centre (APERC) Dr Kazutomo Irie berkata porspek itu menyokong negara-negara anggota dalam mengemudi perubahan landskap tenaga dengan mengenal pasti cabaran serta peluang dalam sektor itu.

"Prospek itu mengunjurkan impak aliran tenaga dan dasar semasa terhadap campuran bahan api masing-masing, matlamat atau sasaran tenaga serta pelepasan karbon dioksida.

"Ini juga mengetengahkan pandangan terhadap trilemma tenaga ketika ekonomi atau negara-negara mencari titik keseimbangan antara keselamatan atau keterjaminan, kemampuan dan kemampanan tenaga," katanya dalam kenyataan itu.

Selain itu, APEC berkata menjelang 2060, kenderaan elektrik (EV) menyumbang 60 peratus daripada kumpulan kenderaan di bawah dasar semasa dan mencecah 96 peratus jika negara-negara memenuhi sasaran ditetapkan, sekali gus mengurangkan penggunaan minyak secara ketara sambil meningkatkan permintaan bagi tenaga elektrik.

Bagi bangunan, permintaan elektrik terus meningkat yang didorong kebanyakannya oleh pengembangan pusat data serta bebanan kecerdasan buatan (AI) ketika kesan kecekapan itu memperlahankan pertumbuhan penggunaan dalam bentuk tenaga lain.

"Bagi penawaran pula, tenaga boleh baharu (TBB) menyumbang bahagian kian ketara dalam penjanaan elektrik, meningkat daripada 26 peratus pada 2022 kepada 55 peratus menjelang 2060 di bawah dasar semasa dan 64 peratus selepas ekonomi mencapai sasaran ditetapkan.

"Penggunaan arang batu terus susut dengan bekalan serta produknya merosot 56 peratus menjelang 2060 di bawah dasar semasa dan 74 peratus sekiranya sasaran dapat dicapai. Bekalan gas asli pula meningkat 58 peratus di bawah dasar semasa yang memaparkan peranannya yang berterusan, kecuali pengurangan pelepasan lebih kukuh dapat dilaksanakan," kata APEC.

Selain itu, APERC menganggarkan perbelanjaan terkumpul sebanyak AS$57 trilion (AS$1=RM4.0615) dalam sektor tenaga elektrik dan hidrogen bagi tempoh 2025 hingga 2060 di bawah dasar semasa dan melonjak kepada AS$91 trilion jika negara-negara meneruskan usaha mencapai sasaran pengurangan pelepasan sepenuhnya.

Menurut APEC, walaupun pengurangan penggunaan bahan api fosil menjana penjimatan sebanyak US$5.4 trilion, angka itu diimbangi oleh pelaburan sektor tenaga sebanyak AS$57-91 trilion yang diperlukan untuk penjanaan TBB, grid, penyimpanan, infrastruktur hidrogen serta kapasiti sokongan.

"Unjuran ini membuktikan bahawa pilihan dasar dalam dekad seterusnya akan memberi kesan besar terhadap aliran pelaburan, harga tenaga dan keterjaminan bekalan di serata rantau.

"Memandangkan permintaan tenaga elektrik melonjak lebih pantas berbanding penggunaannya secara menyeluruh, negara-negara berdepan ruang terhad untuk memperluaskan grid, melaksanakan teknologi karbon rendah dan menguruskan peralihan tanpa meningkatkan ketidaktentuan atau tekanan kos," kata APEC.

-- BERNAMA

#tenaga #penggunaan tenaga #APEC #pusat data #pengangkutan #elektrik