Api marak semula di bangunan Parlimen Afrika Selatan

Astro Awani
Januari 4, 2022 00:16 MYT
Api marak semula di bangunan Parlimen Afrika Selatan di Cape Town beberapa jam selepas ia dikatakan berjaya dikawal pihak jabatan bomba dan penyelamat. -AP
CAPE TOWN: Api marak semula di bangunan Parlimen Afrika Selatan di Cape Town beberapa jam selepas ia dikatakan berjaya dikawal pihak jabatan bomba dan penyelamat.
Dalam kejadian terbaharu, asap kelihatan berkepul-kepul di luar bangunan Parlimen ketika pasukan bomba dan penyelamat berhempas pulas mengawal kebakaran.
Kemas kini terbaharu daripada pihak perbandaran Cape Town menyebut bangunan tingkat empat dan lima Parlimen musnah sepenuhnya dalam kebakaran.
Rakaman di televisyen menunjukkan perkhidmatan kecemasan berada di tempat kejadian termasuk enam peralatan memadam kebakaran dan kira-kira 36 anggota bomba.
Kebakaran | Parlimen Afrika Selatan terbakar kali kedua
Pihak berkuasa memberi amaran kemungkinan api marak semula disebabkan permaidani dan lantai kayu di dalam bangunan itu.
Jurucakap Parlimen memberitahu, beberapa orang anggota bomba bertugas selama 24 jam untuk memadamkan kebakaran dan mencegah ia merebak.
Bagaimanapun, ia sebenarnya masih belum dapat dikawal beberapa jam selepas kebakaran pertama meletus.
Pada Ahad, kebakaran di tingkat tiga bangunan Parlimen itu, telah memusnahkan sepenuhnya Dewan Negara.
Laporan awal menunjukkan bahawa ia bermula di ruang pejabat dan merebak ke arah gim.
Polis berkata mereka sudah memberkas suspek kejadian dan individu itu akan dihadapkan ke mahkamah serta didakwa dengan perbuatan khianat, pecah kediaman dan kecurian.
Ini merupakan kali kedua kejadian kebakaran berlaku di Parlimen dalam tempoh kurang setahun.
Pada Mac, kebakaran meletus disebabkan litar pintas.
#Afrika Selatan #bangunan Parlimen #Cape Town #Jabatan Bomba dan Penyelamat