Syarikat pembuatan cip terkemuka Qualcomm Inc berkata Apple berhutang ASD7 bilion dengan syarikat itu dalam pembayaran royalti paten.

Kenyataan itu dikeluarkan sewaktu prosiding mahkamah di San Diego melibatkan dua gergasi teknologi itu.

Qualcomm yang membekalkan perkakasan cip kepada Apple untuk pembuatan iPhone sejak sekian lama, membawa kes pertelingkahan mereka ke mahkamah.

Ia bertitik tolak daripada tuduhan Apple yang mendakwa Qualcomm menjalankan amalan perlesenan paten tidak adil.

Sementara Qualcomm pula mendakwa Apple melanggar hak paten cip, sekaligus menyaksikan kedua-dua syarikat melalui beberapa fasa tindakan perundangan.

Bagaimanapun, Apple yang baru sahaja melancarkan siri terbaharu iPhone mendakwa jumlah hutang royalti yang diberitahu itu tidak masuk akal.

Apple berkata Qualcomm memaksa syarikat itu membayar dua kali untuk paten sama, iaitu ketika Apple menggunakan cip mereka untuk model iPhone dan kemudian disusuli tuntutan royalti.

Qualcomm bagaimanapun berkata model seperti itu telah dipersetujui sejak kali pertama dua syarikat itu berunding hal pembekalan cip.