[INFO BANJIR] Dapatkan info terkini cuaca dan banjir seluruh negara
DUNIA

Arab dan negara Islam salur AS$72 juta bagi projek pembangunan - Perdana Menteri Palestin

Bernama 25/11/2025 | 01:20 MYT
Projek-projek ini merupakan sebahagian daripada program nasional untuk pembangunan dan pemodenan Palestin. - Foto fail/REUTERS
RAMALLAH/ISTANBUL: Dana Arab dan Islam membiayai lebih 210 projek pembangunan di Tebing Barat termasuk Baitulmuqaddis Timur, Gaza serta kem pelarian Palestin di Lubnan dengan jumlah keseluruhan bernilai AS$72 juta, kata Perdana Menteri Palestin Mohammad Mustafa pada Isnin.


Ringkasan AI
  • Dana Arab dan Islam membiayai lebih 210 projek pembangunan di Tebing Barat termasuk Baitulmuqaddis Timur, Gaza serta kem pelarian Palestin di Lubnan dengan nilai AS$72 juta, menyokong sektor pendidikan, tadbir urus tempatan, kesihatan, dan ekonomi.
  • Projek-projek ini merupakan sebahagian daripada program nasional untuk pembangunan dan pemodenan Palestin melalui 10 inisiatif penting merentasi sektor utama, memperkukuh ketahanan rakyat Palestin di tengah krisis kewangan serius.
  • Sumbangan Dana Arab dan Islam hadir ketika Israel menyekat hasil cukai Palestin, menyebabkan Pihak Berkuasa Palestin mengalami kesukaran kewangan, dengan pemindahan dana tertunggak hampir AS$4 bilion, mendorong pentingnya sokongan daripada negara penderma dan rakan antarabangsa.


Pengumuman itu dibuat pada majlis menandatangani perjanjian pelaksanaan projek berkenaan yang disaksikan beliau di pejabatnya di Ramallah, lapor Anadolu Ajansi.

Projek-projek itu merangkumi sektor yang paling memerlukan termasuk pendidikan, tadbir urus tempatan, latihan vokasional, kesihatan, pemerkasaan ekonomi, pembangunan komuniti dan kawasan luar bandar.

Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri, Dana Al-Aqsa yang diuruskan oleh Bank Pembangunan Islam menyediakan AS$32.7 juta, manakala Dana Arab bagi Pembangunan Ekonomi dan Sosial menyumbang AS$38.5 juta.

Kenyataan itu menjelaskan bahawa projek berkenaan "merupakan sebahagian daripada pelaksanaan program nasional untuk pembangunan dan pemodenan yang dilaksanakan melalui 10 inisiatif penting merentasi sektor utama."

Usaha turut ditingkatkan bagi memperkukuh ketahanan rakyat Palestin "walaupun berdepan pelbagai keadaan dan halangan", menurut kenyataan itu.

Sumbangan Dana Arab dan Islam ini hadir ketika Pihak Berkuasa Palestin berdepan krisis kewangan serius.

Mustafa pada Khamis lalu menegaskan krisis itu berpunca secara langsung daripada tindakan Israel menyekat hasil cukai Palestin.

Kenyataan itu turut menggesa negara penderma dan rakan antarabangsa untuk menekan Israel agar melepaskan dana yang ditahan serta menyediakan sokongan bajet segera selama tempoh enam bulan.

Sejak 2019, Israel telah membuat potongan ke atas hasil cukai berkenaan atas pelbagai alasan dan dilaporkan menghentikan sepenuhnya pemindahan dana itu selama kira-kira enam bulan, menyebabkan jumlah tertunggak mencecah hampir US$4 bilion dan menjerumuskan Pihak Berkuasa Palestin ke dalam krisis kewangan.

Penasihat Perdana Menteri bagi Dana Arab dan Islam, Nasser Qatami berkata peranan tabung-tabung itu tidak terbatas kepada pembiayaan semata-mata, sebaliknya menjadi rakan strategik dalam memperkukuh ketahanan rakyat Palestin.

Beliau menyatakan bahawa sepanjang 23 tahun lalu, dana terbabit telah menyokong ribuan projek pembangunan di Tebing Barat serta di kem pelarian Palestin di Lubnan.

Terdapat lebih 493,000 pelarian Palestin di Lubnan yang berdepan hidup sukar di kem-kem yang ditadbir oleh puak Palestin berdasarkan pengaturan tidak rasmi sejak Perjanjian Kaherah 1969.

Lebih separuh daripada mereka tinggal di 12 kem yang diiktiraf secara rasmi oleh Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA).

-- BERNAMA





#pembangunan Tebing Barat #Dana Arab dan Islam #Palestin #kem pelarian