NEW DELHI: Arab Saudi dijangka melabur AS$1 bilion untuk menyokong ekonomi Pakistan.

Raja Saudi, Raja Salman Bin Abdul Aziz Al Saud telah mengeluarkan titah untuk membuat pelaburan itu, lapor Agensi Akhbar Saudi (SPA) pada Khamis.

Menteri Luar Putera Faisal Bin Farhan Bin Abdullah memberitahu rakan sejawatannya dari Pakistan Bilawal Bhutto Zardari mengenai keputusan kerajaan itu ketika perbualan di telefon.

Kedua-dua menteri turut membincangkan cara mengukuhkan hubungan dua hala serta isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama, lapor SPA.

Sementara itu, Bilawal menerusi ciapan di Twitter berkata beliau memberi taklimat kepada menteri luar Arab Saudi itu mengenai kerosakan akibat kejadian banjir yang tidak pernah berlaku sebelum ini di Pakistan.

Pakistan, mengalami kemerosotan rizab pertukaran asing dan peningkatan inflasi, menerima komitmen pelaburan berjumlah AS$3 bilion daripada Qatar pada Rabu, menurut agensi berita Qatar.

-- BERNAMA