Sabah Memilih: Senarai Calon Rasmi Diumum, Kempen Pilihan Raya Bermula – Ikuti Berita Terkini dari Setiap Lokasi!
DUNIA

Arab Saudi akan labur AS$1 trilion di AS - Putera Mahkota

Bernama 19/11/2025 | 02:30 MYT
Putera Mahkota Mohammed bin Salman (kiri) mengadakan pertemuan dengan Presiden Trump di Pejabat Oval, White House, Washington, pada Selasa. - Gambar Reuters
WASHINGTON: Putera Mahkota Mohammed bin Salman pada Selasa mengumumkan bahawa Arab Saudi akan meningkatkan pelaburannya di Amerika Syarikat (AS) daripada AS$600 bilion kepada hampir AS$1 trilion, lapor Anadolu Ajansi (AA).

"Saya percaya, Tuan Presiden hari ini dan esok kita boleh umumkan bahawa kita akan meningkatkan AS$600 bilion itu kepada hampir AS$1 trilion untuk pelaburan sebenar," titah Putera Mahkota Mohammed kepada pemberita di White House, bersama Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.

Sementara itu, Trump mengucapkan terima kasih kepada Putera Mahkota kerana bersetuju untuk melabur AS$600 bilion di AS.

"Saya ingin berterima kasih kerana bersetuju untuk melabur AS$600 bilion ke Amerika Syarikat dan kerana baginda kawan saya, mungkin baginda akan jadikannya satu trilion, tetapi saya perlu usaha sikit lagi, namun yang pastinya kita boleh kira pada US$600 bilion, walaupun angka itu mungkin meningkat sedikit lagi," kata Trump.

Putera Mahkota tiba di White House pada Selasa bagi rundingan dua hala dengan Presiden AS yang dijangka membawa kepada pemeteraian pelbagai perjanjian dua hala.

Putera Mahkota Mohammed, yang merupakan pemerintah de facto Arab Saudi, disambut dengan upacara penuh hormat setaraf seorang raja apabila jet terbang dalam formasi V di ruang udara White House, meriam ditembak dan pancaragam Kor Marin AS memainkan lagu rasmi.

Trump menyambut ketibaan Putera Mahkota di South Portico sebelum kedua-dua pemimpin memasuki bangunan eksekutif itu.

Mereka dijangka menandatangani beberapa perjanjian dua hala, termasuk jualan pesawat pejuang halimunan F-35 kepada kerajaan itu, selain perjanjian perniagaan dan lain-lain.

Lawatan ini merupakan yang pertama oleh pemerintah Arab Saudi berkenaan dalam tempoh lebih tujuh tahun.

-- BERNAMA



#Arab Saudi #Amerika Syarikat #pelaburan Arab Saudi #putera mahkota arab saudi #Mohammed bin Salman