Sabah Memilih: Senarai Calon Rasmi Diumum, Kempen Pilihan Raya Bermula – Ikuti Berita Terkini dari Setiap Lokasi!
DUNIA

Arab Saudi bakal buka taman tema Six Flags pertama hujung bulan depan

Agensi 16/11/2025 | 23:50 MYT
Arab Saudi akan membuka taman tema Six Flags pertama di negara itu pada 31 Disember 2025, sekali gus mempercepat usaha menjadikan Qiddiya City sebagai hab utama hiburan, sukan dan budaya di rantau ini.
RIYADH: Arab Saudi akan membuka taman tema Six Flags pertama di negara itu pada 31 Disember 2025, sekali gus mempercepat usaha menjadikan Qiddiya City sebagai hab utama hiburan, sukan dan budaya di rantau ini.

Taman tema berkenaan – yang pertama di luar Amerika Utara – merupakan sebahagian daripada pembangunan utama Qiddiya Investment Co. di pinggir Riyadh.

Terletak di pergunungan Tuwaiq, kira-kira 40 minit dari ibu kota, Qiddiya City dibangunkan sebagai destinasi bersepadu berasaskan konsep “Power of Play”, menurut Agensi Berita Saudi (SPA).

Qiddiya menjadi tunjang transformasi Arab Saudi di bawah visi Vision 2030, dengan sasaran menarik sehingga 150 juta pelawat setahun menjelang 2030, seiring usaha negara itu mengurangkan kebergantungan kepada minyak.

Menurut Presiden Six Flags Qiddiya City, Brian Machamer, pembukaan Six Flags Qiddiya City bukan sahaja menandakan permulaan kepada taman tema ini, tetapi juga mencerminkan aspirasi Qiddiya City untuk menawarkan pengalaman luar biasa dan menetapkan penanda aras baharu dalam industri hiburan global.

Taman tema ini akan menampilkan 28 permainan, termasuk beberapa yang mencatat rekod dunia seperti Falcons Flight, roller coaster tertinggi, terpantas dan terpanjang di dunia; Iron Rattler, coaster condong tertinggi serta Spitfire, coaster terbalik tertinggi di dunia.

Selain itu, terdapat 18 permainan mesra keluarga, restoran antarabangsa dan kedai yang menjual barangan eksklusif Six Flags.

Qiddiya City dijangka menempatkan ratusan tarikan lain, termasuk kawasan kediaman, runcit, pejabat, hospitaliti, kesihatan dan pendidikan dalam satu pembangunan berskala besar.

Projek ini adalah sebahagian daripada strategi Arab Saudi untuk memperluas sektor pelancongan dan mempelbagaikan ekonomi.

Taman tema akan dibuka setiap hari bermula jam 4 petang, dengan perkhidmatan bas ulang-alik percuma dari kawasan parkir khas dan Stesen Metro Jeddah bermula jam 3 petang. Semua bas ulang-alik mesra OKU.

Harga tiket bermula SR325 (RM358) untuk dewasa dan SR275 (RM303) untuk kanak-kanak, manakala bayi bawah empat tahun masuk percuma.

Pengunjung juga boleh membeli Unlimited GoFast Pass untuk akses pantas ke permainan terpilih.

Tiket diskaun untuk OKU, warga emas dan pengiring dijual di kaunter taman tema bermula SR75 (RM82).







#Arab Saudi #teman tema #Six Flags #Qiddiya City