Arab Saudi bayar anak Jamal Khashoggi ribuan dolar setiap bulan sebagai pampasan

Agensi
April 3, 2019 04:42 MYT
Keluarga Jamal Kashoggi yang dibunuh dengan kejam di pejabat Konsulat Arab Saudi di Istanbul, Turki menerima pampasan jutaan dolar daripada kerajaan Arab Saudi.
DUA anak lelaki dan dua anak perempuan Jamal Khashoggi menerima sebuah rumah bernilai jutaan dolar dan bayaran pampasan sebanyak ribuan dolar setiap seorang untuk setiap bulan daripada kerajaan Arab Saudi.
Kesemua pampasan berkenaan dipercayai berjumlah AS$70 juta (RM286 juta).
Jamal Khashoggi merupakan wartawan The Washington Post yang dibunuh di Konsulat Arab Saudi di Istanbul pada Oktober tahun lalu.
Meskipun kerajaan Arab Saudi mengaku bahawa pewaris takhta kerajaan itu, Mohammed bin Salman mengarahkan pembunuhan yang terjadi pada 2 Oktober lalu namun, dua anak lelaki Khashoggi, Salah dan Abdullah Khashoggi tidak menyalahkan Putera Mahkota itu.
Pada 2 Oktober 2018, Khashoggi tidak dilihat meninggalkan Konsulat Arab Saudi selepas memasuki premis berkenaan untuk mendapatkan dokumen perkahwinan dengan tunangnya, Hatice Cengiz.
Khashoggi didakwa dibunuh di konsulat tersebut namun dinafikan oleh pegawai Arab Saudi pada awalnya.
Bagaimanapun, 18 hari selepas tarikh berkenaan, The Guardian melaporkan kerajaan Saudi mengakui Kashoggi telah dibunuh dalam konsulat itu dengan kejam. Wartawan berkenaan dilaporkan telah dicekik sebelum anggota badannya dikerat.
Berhubung pengakuan kerajaan Saudi tentang pembunuhan terancang ini, 11 orang telah ditahan, yang mana lima daripada mereka bakal menghadapi hukuman mati.
Menurut The Guardian juga, antara yang dituduh ialah Ketua Forensik untuk Jabatan Perisikan Am, Salah Muhammed al-Tubaigy iaitu suspek yang didakwa memotong badan Khashoggi selepas diserang dan dicekik di dalam konsulat itu.
Tertuduh lain ialah pembantu keselamatan, Maher Abdulaziz Mutreb,dan Timbalan Ketua Perisikan, Ahmed al-Asiri,
Namun begitu, bekas Ketua Komunikasi Putera Mohammed, Saif Saad al-Qahtani yang diyakini perancang utama pembunuhan ini didapati tiada dalam kamar perbicaraan di mahkamah.
#Arab Saudi #Istanbul #Jamal Khashoggi #Mohammed Salman