Arab Saudi benarkan solat di masjid selepas lebih dua bulan

Astro Awani
Jun 1, 2020 04:55 MYT
Jemaah mengerjakan solat sambil menjaga penjarakan sosial dan memakai topeng pelitup muka di Masjid Al-Rajhi, 31 Mei, 2020. REUTERS
MASJID di seluruh Arab Saudi, termasuk Masjid Nabawi di Madinah, dibuka semula pada Ahad, di bawah fasa melonggarkan sekatan secara berperingkat, susulan penularan pandemik COVID-19.
Media antarabangsa melaporkan, selepas lebih dua bulan ditutup, jemaah dibenarkan memasuki masjid, kecuali yang terletak di kota suci Mekah, untuk solat Subuh pada Ahad.
Bagaimanapun, hanya 40 orang dibenarkan berjemaah dalam satu masa.
Agensi berita rasmi SPA berkongsikan beberapa gambar jemaah sedang menunaikan solat.
Pihak berkuasa Arab Saudi juga menyatakan, berjuta-juta mesej teks dihantar kepada orang awam, memaklumkan mengenai peraturan baru bersolat di masjid.
Peraturan itu termasuk menjaga jarak dua meter antara jemaah semasa solat, memakai topeng muka setiap masa dan tidak bersalam atau berpeluk sesama jemaah.
“Sangat indah apabila dapat merasai kebesaran Allah sekali lagi, dan menyeru umat Islam supaya mendirikan solat di masjid, bukan lagi di rumah,” kata Abdulmajeed al-Mohaisen kepada Reuters.
Beliau merupakan muazzin di Masjid Al-Rajhi, salah sebuah masjid terbesar di Riyadh.
“Air mata saya berlinangan apabila masuk ke masjid dan apabila saya mendengar laungan azan.
“Syukur kepada Allah atas rahmat ini, kita dapat kembali semula ke masjid untuk bersolat,” kata Maamoun Bashir, rakyat Syria yang menetap di Riyadh.

Scenes before Maghrib now at Masjid An Nabawi pic.twitter.com/t04kNt14U3

— (@HaramainInfo) May 31, 2020
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Begitupun, terdapat beberapa aduan di media sosial yang mendakwa jemaah di masjid tidak begitu mengikut peraturan ditetapkan.
“Saya dapat bersolat, Alhamdulillah, di masjid dalam kawasan kejiranan saya... ia perasaan yang sangat indah.
“Tetapi, sumpah dengan nama Allah, ada orang yang tidak pedulikan peraturan, tidak pakai topeng muka, tidak bawa sejadah sendiri,” kata seorang pengguna Twitter.
Walaupun sudah dibuka, namun warga emas dan kanak-kanak di bawah umur 15 tahun dan individu yang mempunyai penyakit kronik tidak dibenarkan bersolat di masjid.
Pada Mac lalu, Arab Saudi menangguhkan solat jemaah di masjid di seluruh negara sebagai salah satu cara membendung penularan COVID-19.
Setakat ini, Arab Saudi telah mencatat 83,384 kes positif dengan 480 kematian.
Dalam perkembangan berkaitan, Masjid al-Aqsa di Baitulmaqdis juga dibuka kepada para jemaah bermula waktu solat Subuh pada Ahad.
#Allah #Arab Saudi #Islam #jemaah #Kanak-kanak #Madinah #masjid #Masjid Al-Aqsa #Masjid Nabawi #Media #media sosial #Mekah #rakyat #rumah #Syria #warga emas