Arab Saudi dedah reka bentuk bandaraya mesra alam baharu

Bernama
Julai 26, 2022 10:11 MYT
Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman bin Abdulaziz pada Isnin melancarkan reka bentuk THE LINE, sebuah bandar yang menampilkan gaya hidup mesra alam bagi berdepan krisis alam sekitar. - Gambar REUTERS
JEDDAH (Arab Saudi): Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman bin Abdulaziz pada Isnin melancarkan reka bentuk THE LINE, sebuah bandar yang menampilkan gaya hidup mesra alam bagi berdepan krisis alam sekitar, lapor Xinhua.
Bandar yang direka 200 meter lebar, panjang 170 kilometer serta berada 500 meter di atas paras laut, merupakan revolusi tamadun manusia, membawa pengalaman hidup di bandar sambil memelihara alam sekitar, suatu pengalaman yang belum pernah dialami sebelum ini, katanya kepada Saudi Press Agency (SPA).
Reka bentuk itu merangkumi keadaan masyarakat bandar pada masa hadapan yang bebas daripada kesesakan lalu lintas, kenderaan dan asap.
Penduduk mendapat akses kepada semua kemudahan dengan hanya berjalan kaki lima minit, juga perkhidmatan rel berkelajuan tinggi dengan transit hujung ke hujung selama 20 minit, berdasarkan reka bentuk itu.
Ia akan menggunakan 100 peratus tenaga boleh diperbaharui, mengutamakan alam semulajadi serta menyumbang kepada pemeliharaan 95 peratus tanah.
THE LINE dijangka mampu menempatkan 9 juta penduduk dan akan dibina di atas tapak seluas 34 km persegi.
Pada masa ini, pasukan dari lebih 10 negara telah mengambil bahagian untuk membina projek itu, kata Putera Mahkota Arab Saudi kepada Xinhua.
Beliau mengalu-alukan perusahaan dan syarikat antarabangsa yang cemerlang untuk mengambil bahagian dalam pembinaan agar reka bentuk THE LINE menjadi satu realiti. - BERNAMA
#Arab Saudi #bandaraya mesra alam #THE LINE #putera mahkota arab saudi