DUNIA

Arab Saudi duduki tangga kedua dunia bagi bantuan kemanusiaan 2025

Bernama 18/01/2026 | 22:10 MYT
Arab Saudi kekal menjadi sumber kedermawanan yang berterusan dan simbol perasaan muhibah, serta komited di bawah kepimpinannya untuk menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan di seluruh dunia.
RIYADH: Arab Saudi menduduki tempat kedua di peringkat global dan pertama di dunia Arab dalam kalangan negara penyumbang bantuan kemanusiaan bagi tahun 2025, menurut Perkhidmatan Pengesanan Kewangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), lapor Agensi Berita Arab Saudi (SPA).

Menurut perkhidmatan PBB itu, Arab Saudi juga menerajui sumbangan kepada Yaman dengan 49.3 peratus daripada jumlah keseluruhan bantuan dan menduduki tempat kedua bagi bantuan ke Syria. ,

Laporan bantuan pembangunan 2024 yang dikeluarkan baru-baru ini pula menunjukkan, Arab Saudi berada di kedudukan kedua dalam kalangan 16 negara penderma bukan ahli dan tangga ke-10 di peringkat global dalam jumlah bantuan daripada keseluruhan 48 negara penderma.

Penasihat Diraja merangkap Penyelia Am Pusat Bantuan dan Kemanusiaan Raja Salman (KSrelief), Abdullah Al Rabeeah menekankan bahawa kepimpinan negara itu dalam usaha kemanusiaan mencerminkan komitmennya terhadap kemurahan hati serta mengutamakan maruah manusia.

Beliau berkata, angka-angka berkenaan didokumenkan secara masa nyata di Platform Bantuan Arab Saudi, yang merupakan platform bantuan terbesar di rantau itu.

Pendekatan itu, yang disokong oleh Penjaga Dua Masjid Suci, Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud dan Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Mohammed bin Salman bin Abdulaziz Al Saud, telah menjadi faktor penting dalam mencapai kedudukan antarabangsa berkenaan selain memberikan impak global yang nyata.

Al Rabeeah berkata, Arab Saudi kekal menjadi sumber kedermawanan yang berterusan dan simbol perasaan muhibah, serta komited di bawah kepimpinannya untuk menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan di seluruh dunia.

-- BERNAMA

#Arab Saudi #bantuan kemanusiaan #ksrelief #sumber kedermawanan