DUNIA

Arab Saudi giat tarik pelancong Asia, sasar jadi hab pelancongan global

Agensi 13/11/2025 | 02:50 MYT
Edge of the World, formasi tebing semula jadi yang menjadi mercu tanda dan destinasi pelancongan popular di Riyadh, Arab Saudi. - Gambar hiasan Adobe Stock
RIYADH: Arab Saudi meningkatkan usaha untuk menarik lebih ramai pelancong dari Asia dalam usaha mempelbagaikan ekonominya dan menjadikan negara itu sebagai hab pelancongan dunia.

Menteri Pelancongannya, Ahmad Al-Khateeb berkata, kerajaan sedang menyesuaikan tawaran pelancongan bagi memenuhi jangkaan pelancong Asia, yang disifatkan sebagai antara pasaran terpenting bagi cita-cita pelancongan negara itu.

“Bagi kami, Asia sangat penting, bermula dengan China. Jepun juga sangat penting, begitu juga Singapura, Thailand, Indonesia, Malaysia dan lain-lain,” katanya.

“Kami berhubung dengan ejen pelancongan untuk memahami keperluan pelancong Asia dan apa yang mereka mahukan ketika melancong.”

Beliau berkata demikian kepada CNA pada Selasa (11 Nov) di sela-sela Sidang Kemuncak TOURISE yang julung kali diadakan di Riyadh, dianjurkan Kementerian Pelancongan Arab Saudi.

Bagi memudahkan kunjungan pelancong Asia, sektor pelancongan negara itu sedang meningkatkan kesalinghubungan penerbangan dan memperkenalkan langkah-langkah bagi menjadikan perjalanan ke Arab Saudi lebih mudah dan menyeronokkan.

Negara yang sebelum ini terkenal dengan tawaran pelancongan mewah dan ibadah haji kini mahu memperluaskan tarikan kepada pelancong berbelanja sederhana.

Sebagai sebahagian strategi itu, lebih banyak penginapan pada harga mampu milik akan dibangunkan.

Menurut laporan Xinhua yang memetik Al-Khateeb, jumlah pelancong China ke Arab Saudi dijangka mencecah setengah juta tahun ini, berbanding hanya 100,000 pada 2023.

Dengan sasaran menarik lima juta pelancong China menjelang 2030, Riyadh mempergiat promosi dan kerjasama dengan agensi pelancongan.

Arab Saudi juga berusaha menambah penerbangan terus dengan China, dengan beberapa laluan tanpa henti sudah dikendalikan oleh Saudia dan China Eastern Airlines.

Selain itu, sektor pelancongan turut melabur dalam teknologi dan modal insan untuk meningkatkan pengalaman pelawat.

Negara itu sedang melatih lebih ramai pemandu pelancong dan pemandu yang fasih berbahasa Mandarin, manakala chatbot berkuasa AI bernama Noura mampu memberikan maklumat tarikan pelancongan dalam bahasa Cina.

Pelancongan menjadi tonggak strategi Wawasan 2030 yang diterajui Putera Mahkota Mohammed bin Salman bagi mempelbagaikan ekonomi negara daripada bergantung kepada minyak.

Arab Saudi menyasarkan untuk menarik 150 juta pelancong setahun menjelang 2030, dengan sekurang-kurangnya satu pertiga daripada luar negara.

Tahun lalu, negara itu menerima 30 juta pelancong antarabangsa, meningkat 8 peratus berbanding 2023.

Mereka membelanjakan AS$45 bilion, naik 20 peratus tahun ke tahun.

Ketika ini, sektor pelancongan menyumbang sekitar 5 peratus kepada ekonomi Arab Saudi, dan kerajaan mahu menggandakan angka itu dalam tempoh lima tahun.

Al-Khateeb menegaskan, pendekatan pelancongan negara berasaskan keterbukaan dan pertukaran budaya.

“Pelancongan tidak berkait dengan politik. Pelancongan ialah hubungan antara manusia,” katanya.

“Pintu dan hati kami terbuka kepada semua negara.”

Sidang Kemuncak TOURISE yang berlangsung sehingga Khamis menghimpunkan 7,000 peserta sektor awam dan swasta global bagi membincangkan masa depan pelancongan dan peluang pelaburan baharu.

Pada Selasa, penganjur mengumumkan portfolio pelaburan bernilai AS$113 bilion merangkumi runcit, penginapan, kesihatan, pembangunan bakat dan platform berkuasa AI. - CNA



#Arab Saudi #pelancogan Arab Saudi #pelancong Asia #hab pelancongan global