INTERNATIONAL
Arab Saudi keluar amaran terhadap penempatan pemegang visa ziarah semasa musim haji
Orang ramai digesa mematuhi peraturan haji bagi menjamin keselamatan jemaah dan kelancaran pelaksanaan ibadah. - Foto hiasan/AP
RIYADH: Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi mengumumkan denda sehingga SR100,000 akan dikenakan ke atas mana-mana individu yang menempatkan atau melindungi pemegang visa ziarah di mana-mana jenis kediaman, termasuk hotel, pangsapuri, rumah persendirian, pusat penginapan atau penempatan haji di Makkah dan kawasan suci.
Ringkasan AI
- Arab Saudi akan kenakan denda hingga SR100,000 kepada sesiapa yang lindungi pemegang visa ziarah secara tidak sah semasa musim haji.
- Larangan ini berkuat kuasa dari 1 Zulkaedah hingga 14 Zulhijah dan termasuk semua jenis tempat tinggal.
- Orang ramai digesa patuhi peraturan dan boleh lapor pelanggaran ke talian kecemasan yang disediakan.
Menurut Agensi Berita Arab Saudi (SPA), larangan itu berkuat kuasa dari 1 Zulkaedah hingga 14 Zulhijah dan turut melibatkan sesiapa yang membantu pemegang visa ziarah tinggal secara tidak sah.
Kementerian turut memberi amaran bahawa jumlah penalti akan meningkat mengikut bilangan individu yang melanggar peraturan dengan cara ditempatkan, dilindungi atau dibantu.
Orang ramai digesa mematuhi peraturan haji bagi menjamin keselamatan jemaah dan kelancaran pelaksanaan ibadah. Sebarang pelanggaran boleh dilaporkan dengan menghubungi talian 911 di Makkah, Riyadh dan Wilayah Timur, atau 999 bagi wilayah lain di kerajaan itu.
-- BERNAMA