INTERNATIONAL
Arab Saudi kutuk serangan udara Israel ke atas kemudahan Gaza, gesa PBB bertindak
Kementerian Luar Arab Saudi turut mengecam "peningkatan operasi Israel yang lebih luas, termasuk penyasaran berterusan terhadap orang awam dan tempat perlindungan."
ISTANBUL: Arab Saudi pada Jumaat mengutuk serangan udara Israel ke atas kemudahan yang dikaitkan dengan kerajaan itu di Rafah, selatan Gaza dan mengkritik peningkatan operasi ketenteraan Israel yang berterusan di wilayah Palestin yang diduduki, lapor Anadolu Ajansi.
Menurut Kementerian Luar Arab Saudi: "Pasukan pendudukan Israel menyasarkan dan memusnahkan gudang milik Pusat Kebudayaan dan Warisan Arab Saudi di kawasan Morag Rafah yang menempatkan bekalan perubatan yang bertujuan merawat pesakit dan mereka yang cedera di Gaza."
Kementerian itu turut mengecam "peningkatan operasi Israel yang lebih luas, termasuk penyasaran berterusan terhadap orang awam dan tempat perlindungan dan pembunuhan berpuluh-puluh orang di kawasan seperti Sekolah Dar Al-Arqam di timur laut Gaza, yang melindungi orang yang dipindahkan."
Menurut Pertahanan Awam Palestin, pada Khamis, 31 rakyat Palestin, termasuk wanita dan kanak-kanak terbunuh dalam serangan ke atas sekolah itu. Enam lagi masih hilang dan berpuluh-puluh cedera.
Riyadh mengkritik "kegagalan masyarakat antarabangsa untuk menghalang keganasan dan kemusnahan dilakukan Israel," sambil menegaskan bahawa "ketiadaan mekanisme akauntabiliti yang kukuh menggalakkan Israel untuk terus melanggar undang-undang antarabangsa dan kemanusiaan."
Arab Saudi menyeru negara anggota Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk "memikul tanggungjawab mereka dan membantu menamatkan penderitaan rakyat Palestin."
Laporan pada Khamis oleh Biro Pusat Statistik Palestin menyatakan yang Israel membunuh hampir 17,954 kanak-kanak di Gaza sejak 7 Oktober 2023.
Jumlah itu termasuk 274 bayi baru lahir, 876 bayi di bawah setahun, 17 kanak-kanak yang mati kesejukan di khemah pelarian dan 52 yang mati akibat kelaparan atau kekurangan zat makanan.
Lebih 50,600 rakyat Palestin terbunuh sejak Oktober 2023, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.
-- BERNAMA