INTERNATIONAL
Arab Saudi pastikan kesihatan, keselamatan jemaah haji terjamin
Pihak berkuasa Arab Saudi juga akan mengawasi kemudahan makanan, farmaseutikal dan lokasi perubatan di Makkah dan Madinah termasuk fasiliti perubatan bermusim. - Gambar fail X @HaramainInfo
RIYADH: Pihak Berkuasa Makanan dan Ubat-Ubatan Arab Saudi (SFDA) melaksanakan pelan menyeluruh bagi memastikan keselamatan makanan, ubat-ubatan dan produk perubatan yang dibekalkan kepada jemaah haji sepanjang musim haji tahun ini.
Usaha itu dijalankan selaras dengan arahan kerajaan sebagai tanda komitmen negara dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada jemaah serta menjamin keselesaan dan keselamatan mereka, lapor Agensi Berita Saudi (SPA).
Menurut SPA, SFDA akan menjalankan pemantauan dan pemeriksaan ke atas produk di bawah seliaannya di semua pintu masuk darat, laut dan udara bagi jemaah haji.
Selain itu, pihak berkuasa juga akan mengawasi kemudahan makanan, farmaseutikal dan lokasi perubatan di Makkah dan Madinah termasuk fasiliti perubatan bermusim yang dikendalikan oleh pejabat urusan haji, dengan kerjasama Kementerian Kesihatan.
Pemantauan turut melibatkan barangan yang dihantar melalui kargo udara oleh pejabat urusan haji di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz di Jeddah dan Lapangan Terbang Antarabangsa Putera
Mohammad bin Abdulaziz di Madinah.
Antara inisiatif lain sepanjang musim haji termasuk kajian lapangan dan bengkel kesedaran kepada kakitangan dapur penyedia makanan yang mendapat kelulusan, bagi memastikan pematuhan kepada piawaian kesihatan dan keselamatan dalam penyediaan makanan kepada jemaah.
Inisiatif ini dijalankan bersama pihak berkuasa perbandaran Makkah dan Madinah.
Pihak berkuasa juga akan menyampaikan mesej kesedaran serta program maklumat dalam pelbagai bahasa kepada jemaah berkaitan keselamatan makanan dan ubat-ubatan.
Keseluruhan inisiatif ini mencerminkan usaha berterusan SFDA untuk memberikan perkhidmatan kawal selia terbaik, memperkukuh kerjasama dengan agensi kerajaan demi kejayaan musim haji serta mengukuhkan peranan Arab Saudi sebagai peneraju dalam pengurusan jemaah berskala besar. – Arab News