MAKKAH: Pihak berkuasa perbandaran Makkah dan Madinah telah menggerakkan lebih 18,000 kakitangan serta hampir 6,000 kenderaan operasi dan peralatan di bawah pelan operasi intensif sempena bermulanya 10 hari terakhir Ramadan.
Agensi Berita Arab Saudi (SPA) melaporkan menerusi pelan ini Kementerian Perbandaran dan Perumahan telah mempertingkatkan kesiapsiagaan bagi memberikan perkhidmatan terbaik kepada jemaah umrah dan ziarah, sekali gus membolehkan mereka beribadah dalam persekitaran yang selamat dan teratur.
Advertisement
Menurut kementerian, pelan operasi itu merangkumi peningkatan kecekapan pembersihan kemudahan dan sanitasi persekitaran, pengukuhan infrastruktur serta perkhidmatan perbandaran dan menggiatkan pemeriksaan lapangan terhadap premis komersial dan makanan bagi memastikan kualiti perkhidmatan terjamin sepanjang tempoh kesesakan tinggi di kedua-dua kota suci itu.
Pihak Berkuasa Perbandaran Suci Makkah telah menugaskan lebih 13,000 kakitangan yang bertugas sepanjang masa bagi menyokong aktiviti pembersihan dan operasi di kawasan pusat serta tapak sekitar Masjidil Haram.
Ia disokong oleh sistem kenderaan dan peralatan khusus bersepadu untuk mengekalkan kebersihan di lokasi padat serta memudahkan pergerakan jemaah umrah dan ziarah.
Selain itu, pihak perbandaran telah menyediakan lima tapak parkir dengan kapasiti melebihi 42,000 kenderaan sebagai sebahagian daripada sistem pengurusan trafik bersepadu bagi memudahkan akses ke Masjidil Haram dan mengurangkan kesesakan di kawasan pusat bandar.
Sementara itu di Madinah, pihak perbandaran mempertingkatkan kesiapsiagaan operasi melalui pelan komprehensif yang meningkatkan kebersihan kemudahan dan sanitasi persekitaran, pemantauan keselamatan infrastruktur, dan menggiatkan pemantauan premis makanan bagi memastikan pematuhan syarat kesihatan serta keselamatan produk. Kempen lapangan juga dijalankan bagi membanteras penipuan komersial dan mengawal penjaja jalanan.
Operasi lapangan di Madinah disokong oleh lebih 5,000 kakitangan serta lebih 1,230 kenderaan operasi dan peralatan, selain pengaktifan beberapa platform elektronik bagi mempercepatkan tindak balas terhadap laporan perkhidmatan perbandaran.
Kementerian menegaskan bahawa usaha ini adalah sebahagian daripada kerangka kerja bersepadu Kerajaan Arab Saudi untuk menyantuni jemaah umrah dan ziarah, serta memastikan tahap kesiapsiagaan operasi tertinggi di kota suci sepanjang 10 malam terakhir Ramadan.
-- BERNAMA-SPA