DUNIA
Arab Saudi sahkan tiada pencemaran radiasi dikesan selepas serangan AS ke atas Iran
Langkah pemantauan ini dilaksanakan susulan serangan udara AS yang menyasarkan tiga tapak nuklear utama Iran.
RIYADH: Pihak berkuasa Arab Saudi mengesahkan bahawa tiada sebarang pencemaran radiasi dikesan di wilayah negara itu susulan serangan udara Amerika Syarikat (AS) ke atas kemudahan nuklear Iran baru-baru ini.
Ringkasan AI
- Arab Saudi mengesahkan tiada pencemaran radiasi dikesan dalam negara selepas serangan udara AS ke atas tiga fasiliti nuklear Iran.
- Pihak Berkuasa Kawal Selia Nuklear dan Radiologi menjalankan pemantauan intensif dan melaporkan tahap radiasi kekal normal.
- Negara-negara Teluk lain seperti Qatar dan Emiriah Arab Bersatu turut meningkatkan pemantauan sebagai langkah berjaga-jaga, walaupun risiko pencemaran meluas dianggap rendah.
Menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa Kawal Selia Nuklear dan Radiologi Arab Saudi, pemantauan intensif telah dijalankan di seluruh negara dan keputusan menunjukkan tahap radiasi kekal normal.
“Tiada kebocoran radiasi dikesan di mana-mana lokasi dalam sempadan Arab Saudi,” kata agensi itu seperti dilaporkan oleh Al Mayadeen.
Langkah pemantauan ini dilaksanakan susulan serangan udara AS yang menyasarkan tiga tapak nuklear utama Iran - Fordow, Natanz dan Isfahan - yang mencetuskan kebimbangan terhadap kemungkinan pencemaran silang ke negara-negara jiran di Teluk.
Sementara itu, pakar keselamatan nuklear antarabangsa menyatakan bahawa risiko pencemaran meluas adalah rendah kerana kebanyakan fasiliti Iran terletak di bawah tanah dan tidak melibatkan reaktor kuasa aktif.
Namun, negara-negara Teluk termasuk Qatar dan Emiriah Arab Bersatu turut meningkatkan pemantauan radiasi sebagai langkah berjaga-jaga.