[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
DUNIA

Arab Saudi tandatangani pakatan pertahanan bersama Pakistan

Agensi 17/09/2025 | 23:00 MYT
Putera Mahkota Mohammed bin Salman (kanan) dan Perdana Menteri Shehbaz Sharif saling berpelukan selepas kedua-dua pemimpin itu menandatangani perjanjian pertahanan di Riyadh, Arab Saudi, pada Rabu. - Gambar Reuters
RIYADH: Arab Saudi dan Pakistan yang memiliki senjata nuklear menandatangani perjanjian pertahanan bersama rasmi, menurut media rasmi kedua-dua negara, sekali gus mengukuhkan lagi kerjasama keselamatan yang telah terjalin sejak berdekad lalu.

Dalam kenyataan bersama yang disiarkan Agensi Berita Saudi (SPA) pada Rabu, kedua-dua pihak menegaskan, perjanjian itu mencerminkan komitmen bersama untuk meningkatkan keselamatan serta mencapai keamanan di rantau ini dan dunia.

“Perjanjian ini bertujuan membangunkan aspek kerjasama pertahanan antara kedua-dua negara dan memperkukuh pencegahan bersama terhadap sebarang bentuk pencerobohan.

"Sebarang serangan terhadap salah sebuah negara akan dianggap sebagai serangan ke atas kedua-duanya,” menurut kenyataan itu.

Perjanjian berkenaan didasari oleh “perkongsian bersejarah” Arab Saudi-Pakistan, selain “kepentingan strategik bersama dan kerjasama pertahanan yang erat.”

Semasa pertemuan di Riyadh, Putera Mahkota Mohammed bin Salman dan Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif membincangkan usaha memperkukuh kerjasama strategik antara kedua-dua negara dalam pelbagai bidang.

Kedua-dua pemimpin turut bertukar pandangan mengenai perkembangan serantau dan antarabangsa, isu-isu berkepentingan bersama, serta langkah bagi mencapai keselamatan dan kestabilan.

Shehbaz kini berada di Riyadh bagi lawatan negara.

Menurut seorang pegawai kanan Arab Saudi kepada agensi berita Reuters, perjanjian ini adalah “kemuncak perbincangan sejak bertahun-tahun, bukan reaksi terhadap mana-mana negara atau peristiwa tertentu, sebaliknya, sebagai proses institusionalisasi kerjasama yang telah lama terjalin.”

Ditanya sama ada pakatan itu turut merangkumi penggunaan senjata nuklear Pakistan, pegawai itu menjelaskan, perjanjian ini merupakan “perjanjian pertahanan menyeluruh yang meliputi semua keupayaan ketenteraan.”

Pakatan ini dimeterai hanya dua hari selepas Sidang Luar Biasa Liga Arab dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) diadakan berikutan serangan Israel di ibu negara Qatar, Doha, pada 9 September lalu.

Serangan itu yang menyasarkan kepimpinan politik Hamas ketika mereka berbincang mengenai cadangan gencatan senjata yang disokong Amerika Syarikat, telah menerima kecaman meluas negara Arab dan Islam.

Dalam pada itu, pegawai kanan Saudi menegaskan, hubungan negaranya dengan India - yang juga memiliki senjata nuklear dan berkonflik dengan Pakistan - kekal kukuh.

“Hubungan kami dengan India lebih mantap berbanding sebelumnya. Kami akan terus memperkukuh hubungan ini dan menyumbang kepada keamanan serantau dengan apa cara sekalipun,” katanya.

Arab Saudi dan Pakistan menikmati hubungan perdagangan dan ketenteraan yang rapat sejak puluhan tahun.

Sejak 1967, Pakistan telah melatih lebih 8,200 anggota tentera Arab Saudi, selain kedua-dua negara menjalankan pelbagai latihan ketenteraan bersama. - Agensi



#Arab Saudi-Pakistan #pakatan Pertahanan #senjata nuklear #kerjasama keselamatan