Sabah Memilih: Senarai Calon Rasmi Diumum, Kempen Pilihan Raya Bermula – Ikuti Berita Terkini dari Setiap Lokasi!
DUNIA

Arab Saudi, AS tandatangani perjanjian bernilai hampir AS$575 bilion - Menteri

Bernama 20/11/2025 | 08:38 MYT
Peluang pelaburan baharu ini akan memberi kesan positif kepada ekonomi Saudi dalam pelbagai sektor serta meningkatkan kualiti hidup rakyatnya. - AP
DOHA: Nilai kontrak yang dimeterai antara syarikat Amerika Syarikat dan Arab Saudi tahun ini mencecah kira-kira AS$575 bilion selepas beberapa perjanjian baharu diumumkan minggu ini, menurut Menteri Pelaburan Arab Saudi Khalid Al-Falih, lapor Sputnik/RIA Novosti.

Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed bin Salman baru-baru ini mengadakan lawatan rasmi dua hari ke AS dan menghadiri forum pelaburan yang disertai wakil perniagaan dan syarikat dari kedua-dua negara.

"Sebanyak 242 perjanjian baharu diumumkan antara syarikat Saudi dan Amerika bernilai kira-kira AS$267 bilion, menjadikan jumlah keseluruhan perjanjian berjumlah kira-kira AS$575 bilion, termasuk AS$307 bilion perjanjian yang ditandatangani di Riyadh pada Mei," kata Al-Falih kepada penyiar Al Ekhbariya pada Rabu.

Perjanjian perkongsian strategik antara kedua-dua negara yang ditandatangani semasa lawatan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump ke Riyadh memberi peluang kepada Arab Saudi untuk terlibat dan memperoleh pengalaman dalam teknologi maju AS yang tidak tersedia untuk semua negara, kata menteri itu.

Al-Falih percaya peluang pelaburan baharu ini akan memberi kesan positif kepada ekonomi Saudi dalam pelbagai sektor serta meningkatkan kualiti hidup rakyatnya.

-- BERNAMA

#pelaburan #perjanjian #Amerika Syarikat #Arab Saudi #Donald Trump #Mohammed bin Salman