RIYADH: Persidangan pelaburan utama Arab Saudi ditangguhkan sehingga tahun depan ketika negara itu berdepan siri serangan kumpulan Houthi yang disokong Iran dari Yaman.
Ketua Pegawai Eksekutif Institut Future Investment Initiative (FII), Maha Al Saud pada Isnin berkata, persidangan tahunan itu yang sering digelar sebagai “Davos di Gurun”, tidak akan diteruskan seperti dijadualkan pada 26 hingga 29 Oktober ini.
Sejak hampir sedekad lalu, FII menjadi platform utama Arab Saudi untuk mempamerkan usaha negara berkenaan menarik pelabur global, pemimpin perniagaan serta ketua-ketua negara.
Penangguhan itu dilihat sebagai tamparan kepada usaha Riyadh menarik modal asing, mempelbagaikan ekonominya yang masih bergantung kepada minyak, selain meneruskan agenda pembaharuan negara berkenaan.
Dalam kenyataan menerusi platform X, Maha berkata, persidangan berkenaan akan diadakan pada 2027 bagi memastikan edisi ulang tahunnya dapat berlangsung pada skala serta tahap kualiti yang diharapkan peserta.
Menurutnya, tarikh baharu akan diumumkan tidak lama lagi, manakala semua pendaftaran dan kerjasama sedia ada akan terus berkuat kuasa.
Terdahulu, tiga sumber yang mengetahui perkara itu memaklumkan kepada AFP bahawa persidangan berkenaan akan ditangguhkan.
Seorang daripada sumber itu berkata penganjur dijangka tidak mengumumkan tarikh baharu dalam masa terdekat, manakala seorang lagi mempersoalkan kesediaan pihak tertentu untuk mengambil risiko melakukan perjalanan ke Riyadh dalam keadaan semasa.
Keputusan itu dibuat selepas lapangan terbang antarabangsa Riyadh, yang beberapa kali menjadi sasaran serangan Houthi, menggantung operasinya awal bulan ini susulan serangan pada 10 Oktober yang mengorbankan 13 orang.
Setakat ini, tiada tempoh jelas mengenai bila operasi penerbangan di lapangan terbang berkenaan akan disambung semula.
Serangan tersebut merupakan yang paling buruk mengorbankan nyawa di Arab Saudi dalam tempoh lebih sedekad.
Pada awal bulan ini, sumber diplomatik dilaporkan berkata, kerajaan Arab Saudi pada mulanya merancang untuk meneruskan persidangan itu dengan menawarkan penyertaan secara fizikal dan maya, selain menyediakan pilihan perjalanan udara dan darat alternatif.
Bagaimanapun, rancangan tersebut dipercayai dibatalkan berikutan peningkatan amaran perjalanan oleh negara-negara Barat ke rantau berkenaan, sementara lapangan terbang masih ditutup.
Seorang perunding yang memberikan khidmat nasihat kepada syarikat Arab Saudi berkata eksekutif yang dihubunginya menunjukkan keraguan besar untuk melakukan perjalanan ke Riyadh bagi menghadiri persidangan bulan ini.
Menurutnya, syarikat tidak akan sanggup mempertaruhkan keselamatan pekerja mereka semata-mata untuk menghadiri sebuah persidangan pelaburan.