Skip to main content

Dunia

Arab Saudi tarik balik amaran bahaya di wilayah selatan, barat daya

Pihak berkuasa Arab Saudi telah mengeluarkan beberapa siri amaran kecemasan di kawasan selatan dan barat daya negara itu sejak beberapa hari kebelakangan ini berikutan peningkatan ketegangan. - Gambar fail/Reuters
Pihak berkuasa Arab Saudi telah mengeluarkan beberapa siri amaran kecemasan di kawasan selatan dan barat daya negara itu sejak beberapa hari kebelakangan ini berikutan peningkatan ketegangan. - Gambar fail/Reuters

Advertisement

ISTANBUL: Jabatan Pertahanan Awam Arab Saudi pada Ahad mengeluarkan amaran bahaya bagi bandar Najran di barat daya dan daerah As-Sulayyil di bahagian selatan tengah negara itu sebelum mengumumkan tidak lama kemudian bahawa ancaman di kedua-dua kawasan berkenaan telah berakhir, lapor Anadolu Ajansi.

Amaran yang dikeluarkan menerusi Platform Amaran Awal Kebangsaan Arab Saudi itu menggesa penduduk supaya mematuhi arahan Jabatan Pertahanan Awam.

Tidak lama kemudian, Jabatan Pertahanan Awam mengeluarkan notis memaklumkan keadaan kembali selamat di Najran dan As-Sulayyil selepas ancaman berakhir, namun menggesa penduduk supaya terus mematuhi arahan keselamatan serta mengelakkan daripada berkumpul atau membuat rakaman.

Pihak berkuasa tidak mendedahkan bentuk ancaman yang mencetuskan amaran itu atau sama ada sebarang projektil telah dipintas.

Jabatan Pertahanan Awam turut memberi amaran bahawa "merakam, menerbitkan atau berkongsi maklumat berkaitan tindakan memintas misil dan dron serta lokasi impaknya boleh menyebabkan anda dikenakan tindakan undang-undang."

Amaran itu dikeluarkan ketika ketegangan antara Arab Saudi dengan kumpulan Houthi di Yaman semakin memuncak, susulan serangan misil dan dron yang dilancarkan kumpulan berkenaan ke arah negara itu.

Pihak berkuasa Arab Saudi telah mengeluarkan beberapa siri amaran kecemasan di kawasan selatan dan barat daya negara itu sejak beberapa hari kebelakangan ini berikutan peningkatan ketegangan berkenaan.

-- BERNAMA-ANADOLU

Must Watch Video

Advertisement