DUNIA
Arab Saudi tegas tiada normalisasi dengan Israel selagi negara Palestin belum ditubuhkan
Faisal bin Farhan Al-Saud berucap pada persidangan peringkat tinggi PBB anjuran Perancis dan Arab Saudi bagi mencari penyelesaian dua negara antara Israel dan Palestin di ibu pejabat PBB, New York, Amerika Syarikat pada Isnin. - Gambar Reuters
ISTANBUL: Arab Saudi menegaskan, negara itu tidak akan menormalisasi hubungan diplomatik dengan Israel selagi tiada penubuhan negara Palestin dan selagi perang di Gaza belum dihentikan.
Kenyataan itu dibuat Menteri Luar Arab Saudi, Putera Faisal bin Farhan dalam sidang media bersama rakan sejawatnya dari Perancis, Jean-Noel Barrot, di New York.
Sidang media itu diadakan selepas kedua-dua menteri menyertai persidangan antarabangsa mengenai pelaksanaan penyelesaian dua negara yang dianjur bersama oleh Arab Saudi dan Perancis, menurut laporan Anadolu Ajansi.
"Bagi kerajaan Arab Saudi, sebarang bentuk pengiktirafan terhadap Israel sangat bergantung kepada penubuhan negara Palestin," jelas Putera Faisal ketika menjawab pertanyaan mengenai kemungkinan Riyadh menyertai semula usaha seumpama Perjanjian Abraham.
Sebagai rekod, pada 2020, Emiriah Arab Bersatu, Bahrain, Sudan dan Maghribi menandatangani perjanjian tajaan Amerika Syarikat bagi menormalisasi hubungan mereka dengan Israel.
"Kami berharap konsensus yang jelas pada hari ini dan dijangka berterusan esok serta momentum ke arah penubuhan negara Palestin, dapat membuka ruang kepada perbincangan mengenai normalisasi," katanya.
Putera Faisal turut menekankan adalah tidak wajar untuk berbicara tentang normalisasi dengan Israel selagi serangan berdarah masih berterusan di Gaza.
"Tiada sebarang logik atau kredibiliti untuk bercakap soal normalisasi sementara kematian, penderitaan dan kemusnahan terus berlaku di Gaza."
Dalam ucapan pembukaan persidangan itu, Putera Faisal turut mengalu-alukan kenyataan Presiden Perancis, Emmanuel Macron yang akan mengiktiraf negara Palestin secara rasmi.
"Langkah ini mencerminkan komitmen serius masyarakat antarabangsa terhadap usaha menegakkan hak-hak sah rakyat Palestin," katanya.
Macron sebelum ini memaklumkan bahawa Perancis akan mengiktiraf negara Palestin secara rasmi semasa Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada September ini.
Setakat ini, sebanyak 149 daripada 193 negara anggota PBB telah mengiktiraf negara Palestin -- angka yang terus meningkat sejak Israel melancarkan serangan besar-besaran ke atas Gaza pada Oktober 2023.
Persidangan selama dua hari itu bertujuan menghidupkan semula rundingan damai dan memperkukuh pelaksanaan penyelesaian dua negara, yang sekian lama menjadi harapan masyarakat antarabangsa bagi menyelesaikan konflik Palestin-Israel.
-- BERNAMA
Dapatkan berita terkini di sini