INTERNATIONAL

Arab Saudi temukan 14 medan dan reservoir baharu minyak dan gas asli

Bernama 10/04/2025 | 14:24 MYT
Penemuan enam telaga minyak dan dua reservoir itu dijangka menghasilkan sejumlah 8,126 tong minyak Arab sehari, melibatkan pelbagai gred. - Gambar hiasan/AP
RIYADH: Arab Saudi pada Rabu mengumumkan penemuan 14 lokasi dan reservoir baharu minyak dan gas asli di Wilayah Timur dan kawasan padang pasir Empty Quarter, lapor Xinhua.

Menteri Tenaga Arab Saudi, Putera Abdulaziz bin Salman bin Abdulaziz mendedahkan syarikat tenaga milik negara, Saudi Aramco menemui enam telaga minyak dan dua reservoir minyak, serta dua telaga gas dan empat reservoir gas, menurut Agensi Berita Arab Saudi (SPA).

Menurut pengumuman itu, penemuan enam telaga minyak dan dua reservoir itu dijangka menghasilkan sejumlah 8,126 tong minyak Arab sehari, melibatkan pelbagai gred.

Sementara itu, telaga dan takungan gas baharu itu pula dijangka mampu menghasilkan 82.06 juta kaki padu gas asli sehari.

Putera Abdulaziz menegaskan kepentingan penemuan terbaharu itu, dengan menyatakan yang ia mengukuhkan lagi kedudukan Arab Saudi sebagai peneraju dalam landskap tenaga global, memperkukuh potensi sumber hidrokarbon negara itu selain meningkatkan keupayaannya untuk memenuhi permintaan tenaga domestik dan global.

-- BERNAMA

#Arab Saudi #minyak #gas asli #reservoir