INTERNATIONAL
Arab Saudi terima ketibaan penerbangan pertama jemaah haji tahun ini
Kumpulan pertama 284 jemaah haji Malaysia musim 1446H antara yang selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammed Bin Abdulaziz, pada 29 Apr 2025. --fotoBERNAMA
JEDDAH: Menteri Pengangkutan dan Perkhidmatan Logistik Arab Saudi, Saleh Al-Jasser pada Selasa menyambut ketibaan kumpulan pertama jemaah haji bagi 1446 Hijrah di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz di Jeddah, lapor Agensi Berita Saudi (SPA).
Penerbangan yang membawa 396 jemaah dari Dhaka, Bangladesh adalah antara beberapa penerbangan yang dijadualkan tiba menerusi Lapangan Terbang Jeddah dan Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammed bin Abdulaziz di Madinah.
Al-Jasser berkata enam lapangan terbang utama diperuntukkan bagi menerima ketibaan jemaah haji, iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz di Jeddah, Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammed bin Abdulaziz di Madinah, Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Abdulmohsen bin Abdulaziz di Yanbu, Lapangan Terbang Antarabangsa Taif, Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid di Riyadh dan Lapangan Terbang Antarabangsa King Fahd di Dammam.
Beliau menegaskan bahawa penerbangan akan terus beroperasi sehingga awal Zulhijah, disokong oleh sistem perkhidmatan bersepadu bagi memudahkan perjalanan jemaah dari ketibaan hingga keberangkatan, sekali gus mengukuhkan peranan utama Kerajaan Arab Saudi dalam perkhidmatan kepada Dua Masjid Suci dan jemaah.
-- BERNAMA