Terkini: Kes Kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
DUNIA

Arak tiruan ragut 23 nyawa di Kuwait, pihak berkuasa tahan 67 suspek

Agensi 18/08/2025 | 00:20 MYT
Sekalipun melarang import dan pengeluaran minuman beralkohol, arak tiruan tetap dihasilkan secara haram tanpa pemantauan atau piawaian keselamatan, sekali gus mendedahkan pengguna kepada risiko keracunan. - Gambar hiasan
KUWAIT CITY: Pihak berkuasa Kuwait menahan seramai 67 individu kerana disyaki menghasilkan dan mengedar minuman keras buatan tempatan yang meragut 23 nyawa dalam tempoh beberapa hari lalu.

Menurut Kementerian Dalam Negeri, antara yang ditahan termasuk seorang warga Bangladesh yang dipercayai mengetuai rangkaian jenayah berkenaan.

Dalam kenyataan di platform X, kementerian memaklumkan turut merampas enam kilang arak haram serta menutup empat lagi yang masih belum beroperasi di kawasan perumahan dan perindustrian.

Seorang warga Nepal yang juga anggota sindiket itu memberitahu pihak berkuasa mengenai cara bahan berbahaya itu diproses menggunakan metanol sebelum dijual.

Kuwait sebagai negara Islam, melarang import dan pengeluaran minuman beralkohol.

Kerajaan Kuwait mengharamkan import alkohol pada 1964 dan penggunaannya adalah satu bentuk jenayah sejak 1980-an.

Namun, arak tiruan tetap dihasilkan secara haram tanpa pemantauan atau piawaian keselamatan, sekali gus mendedahkan pengguna kepada risiko keracunan.

Penahanan itu dibuat susulan laporan Kementerian Kesihatan pada Khamis yang mendedahkan sebanyak 160 kes keracunan metanol dikesan akibat minuman tercemar tersebut, dengan 23 kematian direkodkan — kebanyakannya melibatkan warga asing.

Daripada jumlah itu, sekurang-kurangnya 51 pesakit memerlukan rawatan dialisis kecemasan manakala 31 lagi terpaksa bergantung pada alat pernafasan.

Kedutaan India di Kuwait pula memaklumkan, kira-kira 40 rakyatnya dimasukkan ke hospital dalam beberapa hari kebelakangan ini, walaupun tidak menjelaskan punca sebenar.

“Terdapat beberapa kematian, ada yang kritikal dan sebahagian lagi sedang pulih,” kata kenyataan kedutaan itu di X.

Metanol ialah bahan beracun tanpa warna yang biasanya digunakan dalam produk industri dan isi rumah. Ia sukar dikesan, dengan simptom keracunan hanya muncul selepas beberapa jam termasuk loya, muntah, sakit perut, pernafasan laju serta sesak nafas.

Menurut badan perubatan Doktor Tanpa Sempadan, ribuan orang dilaporkan mengalami keracunan metanol setiap tahun, khususnya di Asia. Tanpa rawatan, kadar kematian boleh mencecah antara 20 hingga 40 peratus. - Agensi


#arak tiruan #Kuwait #ragut 23 nyawa #keracunan metanol