Seorang hakim Argentina telah meminta Interpol untuk mengeluarkan Notis Merah (Red Notice) bagi penangkapan bintang pop terkenal Justin Bieber atas dakwaan serangan terhadap seorang jurugambar di luar kelab malam pada 2013.

Bieber mengabaikan perintah mahkamah pada November 2013 untuk hadir di hadapan hakim dalam kes itu, bulan yang sama apabila bintang itu berada di Buenos Aires untuk siri jelajah konsert.

"Kami meminta Interpol untuk tahan Justin Bieber, di mana-mana sahaja di dunia. Oleh kerana dia tidak dapat ditemui untuk hadir untuk memberi keterangan, kami meminta beliau ditahan," kata Setiausaha Hakim Alberto Banos kepada AFP.

Beliau berkata permintaan itu dibuat pada 8 April, selepas Bieber gagal hadir di mahkamah dalam tempoh 60 hari saman itu berkuatkuasa.

Interpol, badan polis antarabangsa, tidak mengeluarkan waran tangkap sendiri, tetapi boleh menghantar Notis Merah memaklumkan 190 negara anggotanya bahawa suspek yang dikehendaki berada di negara tertentu.

Menurut aduan itu, pengawal peribadi (atas arahan Bieber) merampas kamera dan telefon bimbit jurugambar Diego Pesoa di luar sebuah kelab malam di kejiranan Palermo pada bulan November 2013.

Siri jelajah konsert Bieber 2013 di Argentina dipenuhi dengan skandal. Beliau dihalau dari sebuah hotel dan terpaksa membatalkan salah satu konsert selepas peminat menanti selama 45 minit kerana sakit perut.